Misteri Laluan Karak Berhantu
Lebuhraya Karak ni bukak pada tahun 1977 dengan jalan sepanjang 60km menghubungkan Kuala Lumpur ke Karak(Pahang). Kalau nak ke Pantai Timur contohnya Pahang, Kelantan ataupun Terengganu memang orang akan lalu Karak dulu..
Ada banyak cerita pasal Karak ni..Seperti biasa sebagai seorang peminat cerita-cerita seram ni, saya akan try cari dan share kat semua yang minat nak tau pasal cerita seram ni..^_^. Jom teruskan baca lagi pengalaman orang yang pernah alami misteri kat situ..Nak percaya or tak terpulang la kan.Janji best di baca..hehe
Mohd. Saifullah Adli Hamzah, 32, mendakwa, dia pernah berada dalam situasi menyeramkan ketika melalui laluan berkenaan.
“Kejadian ini berlaku lima tahun lepas. Ketika itu saya dan tiga rakan dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Tanah Merah, Kelantan.
“Perjalanan dimulakan sekitar pukul 1.30 pagi dari Shah Alam. Kami bergerak lewat kerana ada rakan-rakan yang bekerja syif petang.” katanya yang juga merupakan pegawai pasukan beruniform.
“Kejadian ini berlaku lima tahun lepas. Ketika itu saya dan tiga rakan dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Tanah Merah, Kelantan.
“Perjalanan dimulakan sekitar pukul 1.30 pagi dari Shah Alam. Kami bergerak lewat kerana ada rakan-rakan yang bekerja syif petang.” katanya yang juga merupakan pegawai pasukan beruniform.
Dihempap
Menyambung bicaranya, sebaik sahaja melepasi tol Gombak, dua rakannya, Azizi dan Malik minta izin untuk tidur kerana mereka akan bergilir memandu sementara dia dan seorang lagi rakan bernama Hadi, asyik bersembang.
“Selepas melalui Bentong, jalan mulai sunyi. Ketika kereta menaiki bukit, saya terdengar seperti ada benda terjatuh menghempap bahagian belakang kereta.
“Hadi turut mendengar bunyi yang sama. Bila saya lihat cermin pandang belakang, saya tidak nampak apa-apa.
“Memandangkan keadaan ketika itu sunyi dan gelap, saya teruskan juga pemanduan,” ujarnya yang membuka tingkap sepanjang perjalanan kerana mahu merokok selain menikmati udara sejuk hutan.
Laluan berliku dan berbukit memaksa Saifullah berhati-hati ketika meningkatkan kelajuan untuk memintas beberapa lori besar.
Ketika itu, dia mula merasakan keretanya berat namun dia tidak fikir yang bukan-bukan. Mungkin juga tekanan berat itu disebabkan kereta transmisi automatik yang dipandunya.
Namun, sebaik dia melepasi sebuah lori balak, pemandu tersebut menyalakan lampu besar berulang kali.
“Hadi menyuruh saya memecut supaya tidak terus terganggu dengan nyalaan lampu tinggi lori terbabit.
“Peliknya selepas itu ada dua tiga kenderaan yang memintas saya turut menyalakan lampu tinggi, malah ada yang membunyikan hon. Kata saya kepada Hadi, mungkin mereka hendak beritahu sesuatu,” katanya yang terus mengejutkan dua lagi rakannya yang sedang tidur.
Memikirkan kemungkinan sesuatu berlaku terhadap keretanya, Saifullah ambil keputusan berhenti di bahu jalan untuk melihat-lihat jika ada yang tidak kena.
“Sebaik saja saya dan Hadi buka pintu untuk keluar, Malik yang kebetulan memalingkan muka ke cermin belakang menjerit meminta saya meneruskan perjalanan.
“Allahuakhbar! Pul, kau jangan keluar! Kita blah... kita blah!” jerit Malik dengan muka panik sambil menepuk-nepuk belakang kerusi supaya kami segera beredar dari kawasan tersebut.
Pontianak
Tanpa fikir panjang, pintu kereta ditutup dan Saifullah menekan pedal minyak semahunya. Malik menekup muka, Azizi pula menenangkannya.
Tingkap yang sebelum itu dibiarkan terbuka pantas ditutup. Hadi bertanya, apa yang mereka nampak dan kenapa ketakutan sampai begitu sekali.
“Aku rasa aku nampak puntianak. Dia tengah baring terlentang atas but kereta kau tapi muka dia menghadap kita.
“Masa aku toleh ke belakang tadi, mata aku betul-betul nampak matanya,” kata Saifullah ketika menceritakan detik cemas dia dan rakan-rakannya disapa makhluk halus di Lebuh Raya Karak.
Selepas mendengar pengakuan rakannya, Saifullah cuba memberanikan diri untuk melihat ke cermin pandang belakang namun tiada apa yang kelihatan. Hadi pula cuba pandang ke belakang menerusi cermin sisi.
“Pul, betullah. Aku nampak ada ‘benda’ dekat belakang,” kata Hadi. Mendengarkan katanya, kami semua tidak putus membaca kalimah al-Quran. Hadi pula beberapa kali mengalunkan azan dalam tempoh 15 minit,” ujar Saifullah.
Apabila keadaan menjadi tenang, baru empat sekawan ini faham mengapa lori dan kereta yang memintas mereka menyalakan lampu besar.
“Mungkin mereka nak beritahu kita pasal lembaga tersebut, tetapi kita yang tak faham. Mujur juga mereka masih boleh mengawal kenderaan kerana panik dan takut melampau juga boleh mengundang kemalangan,” jelasnya yang sehingga kini mengelak untuk melalui Lebuh Raya Karak pada waktu malam.
Tidak menolak kewujudan entiti di laluan berkenaan, ramai yang berpendapat kawasan di sepanjang lebuh raya tersebut memang keras.
Menerusi carian di beberapa blog yang memaparkan cerita seram, sudah ramai yang disakat oleh makhluk halus terutamanya jika menggunakannya pada waktu malam.
Ada yang mengaitkan gangguan-gangguan tersebut terjadi ekoran kejadian kemalangan maut yang kerap berlaku di situ. Ada juga yang berpendapat, kawasan tersebut memang ‘keras’ kerana ia adalah tapak asal perkuburan lama.
Mintak Nombor Ekor
Seorang pengguna laluan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, gangguan-gangguan tersebut adalah tanda marah roh-roh yang meninggal dunia di situ.
“Kemungkinan besar roh-roh itu marah dengan pengendali trak penunda. Saya sudah beberapa kali melihat kemalangan ngeri di lebuh raya ini.
“Bila ada kemalangan saja, trak penunda akan datang. Kalau mereka angkut kereta rosak saja tak mengapa, tapi kebanyakan buat bisnes di situ.
“Mereka perah limau dan tabur garam pada kawasan berdarah sebab mahu puja roh untuk dapatkan nombor ekor.
“Dalam kepercayaan orang Cina, perbuatan itu hanya akan menambah sakit pada si mati.
“Mungkin bukan semua buat begitu, tapi saya percaya, ada yang buat sebab itu roh tak tenteram dan kacau orang lain,” katanya yang berulang alik ke Pasir Puteh, Kelantan, sebulan sekali melalui lebuh raya berkenaan.
Biarpun ada berpuluh versi kisah seram di sepanjang Lebuh Raya Karak, laluan yang merentas negeri Pahang itu masih tetap menjadi pilihan terutamanya kepada anak-anak Pantai Timur yang mencari rezeki di ibu kota.