Padah Mencuri Komputer Puteri Raja Kelantan


KOTA BHARU – Tindakan nekad seorang pengawal istana mencuri komputer riba milik puteri raja Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri di ruang tamu Istana Mahkota Kubang Kerian di sini bulan lalu mengundang padah apabila dia kini dijatuhi hukuman penjara 2 tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Tengku Amalin, 29, merupakan adinda kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly telah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mahadi Mahamad, 35, setelah lelaki terbabit mengaku bersalah mencuri komputer riba yang berjenama Apple Macbook bernilai RM7,500.
“Mahkamah melihat bukan sahaja kepada barang yang kamu curi tetapi keberanian kamu menceroboh kawasan larangan bagi mencuri barang tersebut. Kamu sepatutnya menerima hukuman yang lebih berat,” kata Mohd. Fazaly Ali.
Mohd. Fazaly Ali hari ini telah mengarahkan Mahadi menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu.
Mahadi dari Jalan Telipot di sini telah didakwa mencuri komputer riba berwarna putih itu dan satu alat pengecas milik Tengku Amalin yang berada dalam jagaan sepupunya, Tengku Noremilina Tengku Iskandar, 27, di istana tersebut. Kejadian tersebut berlaku antara pukul 12 tengah hari 29 Ogos lalu sehingga pukul 2 pagi 30 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh didenda jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pada 13 September lalu, Tengku Noremilina membuat laporanpolis setelah mendapati komputer riba milik Tengku Amalin yang diamanahkan kepadanya bagi dijaga serta diletakkan di bilik ruang tamu istana tersebut hilang.
Pada pukul 6 petang 15 September lalu, polis menangkap 4 suspek termasuk tertuduh yang kemudian mengaku mencuri barangan tersebut.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tengku Amalin pernah menjawat jawatan majistret di Mahkamah Majistret Kota Bharu antara tahun 2006 sehingga 2009.
Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan tersebut kerana melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Melbourne, Australia dalam jurusan undang-undang. 
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post