Siapakah Tok Awang Ngah Yang Sebenarnya?


Sumber : wanmudshardihan.blogspot.com



Salam hormat dan penuh takzim kepada saudara-saudara yang dirahmati Allah sekalian. Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kehadrat Illahi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk berkongsi pengalaman bersama tokoh. Pada kesempatan ini saya ingin berkongsi maklumat mengenai siapa dia penulis yang menggunakan nama pena Tok Awang Ngah dalam siri Berkelahi Dengan Syaitan.

Maklumat yang saya perolehi adalah daripada temuramah dengan sahabat-sahabat 'ustaz' sendiri. Di antaranya adalah saudara Tamar Jalis, saudara Kadir Misai, Tok Busu dan Ustaz Nazri atau Ustaz Ayi. Nama sebenar 'ustaz' adalah saudara Abdul Muluk bin Hj Daud. Walaupun saya tidak berkesempatan menemui beliau kerana Allah swt terlebih dahulu menjemputnya kembali kira-kira dua tahun lepas, namun saya berkesempatan menemui beberapa sahabat beliau di Kampung Triang, Jelebu. Di situlah saya dimaklumkan bahawa 'ustaz' adalah juga dikenali sebagai Dharmala NS, seorang sasterawan yang pernah memenangi Sayembara Novel Yayasan Sabah, GAPENA tahun 1979. Tidak hairanlah mengapa beliau dan saudara Tamar mampu menterjemahkan pengalaman hidup dengan begitu baik melalui karya masing-masing. Ini adalah kerana mereka terbabit secara langsung dalam dunia penulisan. Marilah kita sama-sama menghadiahkan al Fatihah buat 'ustaz' semoga roh beliau tergolong dalam orang-orang yang beriman.

Bapa 'ustaz' merupakan seorang bekas Pegawai Pertanian di Jelebu pada tahun 1943 sehingga 1945 dan selepas itu menjadi guru sehingga tahun 1964. Bapa beliau turut aktif dalam politik di samping menjadi dato' adat yang bergelar Dato' Sati. Berkebolehan dalam mengubati penyakit secara perubatan Islam yang dipelajari dari ayah beliau iaitu Sheikh Hj Ahmad bin Sutan Muda Sheikh Hj Salim yang turut dikenali sebagai 'Tok Aji' dalam siri Berkelahi Dengan Syaitan. Kisah 'Tok Aji' turut menjadi salah satu bahan cerita dalam karya 'ustaz'. Maka tidak hairanlah jika 'ustaz' turut terkena tempiasnya apabila turut mempunyai bakat dalam perubatan Islam. Tambahan pula 'ustaz' turut rapat dan berguru dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Tan Sri Abdul Samad Idris iaitu pengasas dan juga presiden Silat Nasrul Haq. Ketika itu, 'ustaz' turut dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung Nasrul Haq. Prof Muchtar Lintang turut menjadi guru 'ustaz' dan melalui beliau lah, 'ustaz' mempelajari kaedah berubat melalui tidur iaitu kaedah yang diceritakan dalam siri Berkelahi Dengan Syaitan apabila ingin mengesan punca sesuatu penyakit.

Kaedah mengesan penyakit melalui tidur ini merupakan kaedah yang puas saya cari selama ini dan saya akan bertanya dengan mana-mana sahabat 'ustaz' yang diketahui pernah mengubati penyakit bersama-sama beliau. Malangnya, beberapa sahabat 'ustaz' yang ditemui memberi jawapan yang bukan saya harapkan. Lantas saya redha dan beranggapan bahawa ilmu tersebut mungkin tak dapat saya pelajari. Alhamdulillah, sesungguhnya Allah swt itu Maha Pemurah dan Maha Pengasihani kerana setelah puas mencari, akhirnya pada hari ini saya ditemukan dengan seorang guru yang pernah mempelajari kaedah tersebut daripada Prof Muchtar Lintang sebelum Prof pulang ke Indonesia dan menghembuskan nafas terakhir beliau InsyaAllah, di lain kesempatan saya akan cuba berkongsi dengan saudara-saudara yang dirahmati Allah swt sekalian berkenaan ilmu tersebut.

Pendedahan siapa 'ustaz' dalam siri Berkelahi Dengan Syaitan bukanlah berhasrat untuk menyinggung mana-mana pihak yang mungkin selama ini berhasrat untuk menyembunyikan identiti 'ustaz'. Ribuan ampun dan maaf jua saya pinta dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki seandainya niat saya ini salah di mata mana-mana pihak.


Kembali kita kepada cerita Tok Awang Ngah. Di antara watak penting yang menjadi bahan penceritaan 'ustaz' adalah kisah Tok Aji. Tok Aji merupakan datuk 'ustaz'. Nama beliau adalah Tn Hj Ahmad bin Hj Salim. Lahir pada tahun 1853 di desa Kubu Sembilan, Kota Bangun, Kuok di Kabupaten Kampar, propinsi Riau, Indonesia. Tok Aji adalah seorang guru pesantren yang turut menjadi Syeikh Haji iaitu yang menyelaras jemaah haji dari Indonesia, Singapura serta Malaysia terutamanya dari negeri Johor. Beliau yang turut dikenali sebagai Tn Guru Hj Mat Kampar pernah mendirikan rumahtangga dan yang terakhir bersama Hjh Aminah Bt Hasan yang ketika itu berumur 18 tahun manakala Tok Aji berumur 60 tahun.Hjh Aminah dilahirkan pada tahun 1895. 

Dikatakan bahawa Wak Hasan iaitu bapa kepada Hjh Aminah merupakan seorang yang bengis dan memiliki kekuatan luarbiasa seperti mampu memikul kayu balak yang sebesar lima pemeluk serta mengerjakan sawah dua tiga ekar dalam masa sehari. Namun, Tok Aji berjaya juga melembutkan hati Wak Hasan dengan keperibadiannya yang lemah lembut di samping berkebolehan dalam meniup seruling sehinggakan burung-burung liar akan datang hinggap tanpa mengganggu tanaman di sawah padi.

Bersama Hjh Aminah, Tok Aji dikurniakan dua anak perempuan dan lima anak lelaki. Ayah 'ustaz' iaituDato Sati Daud adalah anak ke tiga. Dilahirkan kembar perempuan yang meninggal dunia sebaik sahaja dilahirkan. Tok Aji dkhabarkan tidak pernah memukul anak-anak kerana memiliki Ilmu Bisa Tangan. Pernah beliau menampar bendul rumah untuk melepaskan kemarahan kepada Dato Sati Daud yang menyebabkan bisul pada pelipat di bahagian betis meletup. Begitulah ilmu orang dahulukala. Apa yang saya difahamkan oleh orang-orang berilmu, ilmu bisa tangan ada yang berbentuk mentera dan ada yang berbentuk ayat yang dipetik dari Al Quran. Pernah saya mendengar sesiapa yang memiliki Ilmu Tampar Kali Maut akan menemui ajal bergantung kepada jalur jari yang melekat pada muka atau anggota badan musuh yang dipukul. Oleh kerana penawar bisa hanya ada pada yang memukul maka pada kebiasaannya orang yang memukul akan menghilangkan diri . Namun, tak dapatlah nak dipastikan secara terperinci mengenai ilmu ini kerana hanya diperturunkan secara lisan oleh generasi dahulukala. 

Terdapat beberapa kelebihan yang ada pada Tok Aji seperti menampar perdu pokok kelapa lalu layu daun dan pucuknya serta gugur buah-buah selepas 3 hari dan akhirnya pokok tersebut reput seolah-olah hempulurnya dimakan anai-anai selepas tiga minggu. Di Indonesia, ketika Tok Aji bersama dua rakan beliau mencari rotan di hutan, salah seorang dari rakan beliau meninggal dunia kerana sakit perut. Ini menyebabkan rakan yang seorang lagi terpaksa balik dahulu untuk mencari bantuan. Sebagai langkah keselamatan serta mencegah jenazah dirasuki oleh gangguan makhluk halus maka jenazah tersebut telah diikat dengan rotan. Setelah malam tiba, jenazah tersebut dengan tiba-tiba bangun dan berjaya memutuskan ikatan rotan lalu menyerang Tok Aji. Maka bertahanlah Toj Aji seorang diri dengan bersenjatakan anak kayu hinggalah jenazah tersebut terlekat mencengkam pada pokok ketika menerkam beliau . Apabila orang kampung tiba bersama pemerintah Belanda, Tok Aji menceritakan pengalaman beliau sehingga menyebabkan jenazah tersebut terlekat di pokok dengan kesan-kesan dipukul. namun, pemerintah Belanda tidak menerima kisah tersebut. Demi mengelakkan dari ditangkap dan dibicarakan maka Tok Aji mengambil keputusan untuk berhijrah Malaysia dengan menuju ke Johor. Setelah berada di Johor, Tok Aji telah berkelana dan akhirnya menetap di Jelebu.

Terdapat juga kisah di mana Tok Aji yang lumpuh sebelah kaki mampu mengayuh basikal dari Jelebu ke Semenyih dalam masa 5 minit. Apa yang dimaklumkan kepada saya, Ilmu Lipat Bumi ini ada beberapa keadaan. Ada keadaan di mana orang yang mengalaminya akan tetap melalui semua jalan dan persimpangan sehinggalah ke destinasi. Cuma masa yang diambil amat singkat dari kebiasaan dan di luar jangkauan manusia biasa. Ada keadaan di mana orang yang mengalami tidak akan melalui jalan dan persimpangan tertentu yang menyebabkan perjalanan cepat dari biasa.Bertanya, merujuk dan menuntutlah pada guru yang alim dan warak..Jika ilmu yang tidak bertentangan dengan Allah, pada kebiasanya kejadian sebegini hanya diizinkan dan terjadi dalam keadaan memerlukan sahaja dan bukannya secara suka-suka..

Di samping itu terdapat peristiwa di mana cucunya iaitu Dato Sura Bin Hj Abdul Rashid mengikuti Tok Aji dalam keadaan tengah hujan lebat dan diarahkan memijak hanya pada jejaknya menyebabkan mereka tidak sedikit pun dibasahi hujan. Begitu juga ketika banjir melanda, ada kalangan murid Tok Aji yang melihat seolah-olah beliau berjalan di atas air seperti menyeberangi sebuah jambatan yang tak disinggahi air. Tok Aji juga pernah dilihat solat di masjid sedangkan ketika itu beliau sedang solat di hujung serambi rumah mereka kerana sedang uzur.

Ada kejadian di mana lembu yang hendak disembelih naik minyak lalu menanduk Tok Aji yang berjalan sambil memegang pelita hingga terhumban. Kemudian, secara tiba-tiba, kedengaran suara Tok Aji memanggil orang kampung agar segera sembelih lembu tersebut dalam keadaan Tok Aji memegang bahagian perut lembu. Setelah dilapah, didapati hati lembu tersebut hancur manakala Tok Aji tidak cedera. 

Terdapat kitab sufi yang mengatakan waima jika seseorang itu mampu terbang di langit biru sekalipun, belum tentu ilmunya putih atau mengikut Al Quran dan Sunnah. Oleh itu, berhati-hatilah dalam menuntut ilmu yang secupak, jangan kerana cepat nak jadi segantang maka ajaran Islam dipinggirkan. Biar sedikit tetapi amalan itu berkekalan adalah lebih baik dari ilmu yang segunung tetapi tidak diamalkan..Lihat dan perhatikan amalan orang tersebut, ikutilah selagi tidak meninggalkan yang dituntut oleh agama serta tinggalkanlah jika melakukan perkara yang bertentangan dengan agama. Kisah Tok Aji ini dikongsi oleh 'ustaz' bagi menyedarkan kita anak bangsa bahawa musuh anak Adam itu jelas dan nyata. Oleh itu, janganlah leka dengan peredaran zaman tanpa memikirkan betapa terlalu banyak khazanah bangsa yang perlu dipelihara dan dipertahankan dan semestinya berlandaskan Al Quran dan Sunnah. 


Begitulah antara kisah Tn Hj Ahmad Bin Hj Salim atau Tn Guru Mat Kampar serta lebih dikenali sebagai Tok Aji dalam siri Berkelahi Dengan Syaitan dan beliau meninggal dunia pada tahun 1939 ketika usia 86 tahun. Manakala, Hjh Aminah Bt Hasan iaitu isteri Tok Aji pula meninggal dunia pada tahun 1980an ketika berumur 92 tahun di Bukit Perah, Batu Kikir, Jempol. Dato Hj Sati Daud pula meninggal dunia pada 26 Mei 2003 ketika berusia 83 tahun. Beliau sempat membisikkan kepada 'ustaz' bahawa beliau akan meninggal dalam tempoh 10 hari dan ternyata kata-kata beliau itu benar. Al Fatihah kepada mereka yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita.

Sebagaimana yang telah saya maklumkan sebelum ini, watak 'ustaz' atau 'Tok Awang Ngah' (TAN) dalam Siri Berkelahi Dengan Syaitan adalah Allahyarham Abdul Muluk Bin Daud. Bagi peminat ustaz, saya sertakan wajah beliau bagi menghilangkan tanda tanya siapakah dan bagaimanakah gerangan dan wajah penulis yang begitu terkenal pada sekitar tahun 1980an. 

Pada kesempatan ini juga, sekalung penghargaan dan terimakasih yang tidak terhingga kepada sahabat saya,  YM Raja Norazli, Ketua Penolong Pegawai Daerah Jelebu serta Ybhg Tn Guru Ustaz Nazri atau Ayi (merupakan murid kepada ayah ustaz iaitu Alahyarham Dato Haji Sati bin Haji Daud) serta Saudara Tamar Jalis atau Abang Mad yang telah memberi panduan dan pedoman siapa yang patut saya temui bagi mencungkil dan mengenali TAN dengan lebih dekat. 

Namun, saya ingin memohon maaf kerana beberapa tokoh yang pernah bersama ustaz tidak dapat dikesan seperti siapa Alang Bumin dan lain-lain watak dalam kisah Berkelahi Dengan Syaitan (BDS). Apa yang dimaklumkan kepada saya ialah terdapat watak-watak yang turut telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Nama samaran yang digunakan turut menyulitkan proses mengumpul maklumat kenalan, sahabat serta keluarga ustaz. Terdapat juga maklumat yang mengatakan mungkin Alang Bumin pernah menetap di Kampung Peradong, Jelebu semasa hayatnya. Walau bagaimanapun, saya tetap mengharapkan agar sesiapa dari kalangan pembaca yang mengenali arwah atau keluarga serta sahabat arwah bolehlah berkongsi apa jua maklumat bagi pengetahuan bersama.

Dalam pencarian, saya dimaklumkan tentang dua pendapat tentang ustaz iaitu pertama, tidak semua kisah yang disajikan merupakan pengalaman arwah sendiri dalam mengubat pesakit. Bahkan, terdapat cerita yang digarap merupakan pengalaman sahabat arwah sendiri. Saya bersependapat dengan pandangan ini kerana terdapat kisah Saudara Kadir Misai (nama samaran sahabat arwah) mempunyai persamaan dengan kisah orang yang mempunyai ilmu boleh bertukar menjadi harimau, apabila meninggal akan menjelma menjadi harimau sekiranya beberapa syarat tertentu tidak dipatuhi. Sebagai contoh, saudara Kadir Misai menceritakan bahawa arwah bapa beliau boleh berubah menjadi harimau apabila keadaan memerlukan. Menurut beliau sesiapa yang mempunyai ilmu ini bisa bertukar menjadi harimau setelah meninggal kelak. Walau bagaimanapun, tidak semua pengamal ilmu ini akan bertukar menjadi harimau apabila jenazah telah dikebumikan. 

Kisah ini ada persamaan dengan salah satu kisah yang dipaparkan iaitu seorang guru agama sebelum meninggal dunia telah sempat berpesan kepada seorang anak murid kanan agar menunggu di kubur beliau pada kiraan hari tertentu dengan membaca ayat suci al Quran. Malangnya, setelah beberapa hari menunggu, dek kerana terlalu takut dengan ujian yang melanda, beliau telah meninggalkan kubur arwah guru sambil menyorok di atas sebatang pokok yang sekira-kiranya boleh melihat kubur gurunya. Alangkah terperanjatnya beliau apabila melihat kubur gurunya telah didatangi oleh harimau yang menggali serta menjilat jenazah gurunya sehingga tiba-tiba terpacul seekor harimau keluar dari kain kapan. Kedua-dua ekor harimau tersebut terus berlalu pergi menghala ke hutan yang berdekatan. Jelas terdapat persamaan di antara kedua kisah. Cuma sebagai penulis ustaz berkeupayaan untuk mempersembahkan dengan teknik penulisan yang lebih menarik.

Kedua, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa ustaz sebenarnya tidak mengubat atau tidak mempunyai kemahiran untuk mengubat pesakit yang diganggu makhluk halus. Namun, saya berkeyakinan bahawa ustaz berkemampuan untuk mengubat kerana ustaz pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung Silat Nasrul Haq. Dinyatakan juga ustaz permah berguru dengan Allahyarham Prof Muchtar Lintang. Prof sememangnya terkenal suatu ketika dulu kerana menjadi Penasihat Silat Nasrul Haq yang cukup dikenali sehingga kini. Aliran silat ini dilihat lebih dikenali dari silat yang sama aliran iaitu silat yang mengamalkan jurus kebatinan. Kemampuan Prof untuk mengubat pesakit dengan menggunakan teknik  tidur turut digunakan oleh ustaz apabila mengubati pesakit dalam kisah BDS. Sehubungan dengan itu, saya merasa yakin dan percaya bahawa ustaz turut mempelajari serta menguasai ilmu tersebut. 

Selain dari itu, terdapat kisah di mana ada ahli persilatan tersebut telah menjurus ustaz ketika berjalan masuk bersama ayahanda beliau ke dewan Muktamar Silat Nasrul Haq. Ahli tersebut tidak menyangka ustaz turut mempunyai 'isi' lalu menjurus ustaz secara sembunyi. Namun, alangkah terperanjatnya beliau apabila telah terpelanting sehingga tercedera lutut dan sikunya. Ahli yang ditemui setelah tamat muktamar telah mengakui bahawa beliau memang berniat untuk menguji ustaz lantaran ustaz memegang jawatan sebagai penolong setiausaha sambil tidak menyedari bahawa ustaz merupakan anak Dato Sati Daud.. Ini menunjukkan bahawa ustaz sememangnya berisi setelah menuntut dengan Prof. Bersama-sama ini saya turut menyertakan gambar Prof Muchtar Lintang untuk tatapan bersama.

Selain dari itu, saya turut berkesempatan menemui salah seorang murid Prof yang telah sempat menuntut sebelum Prof meninggal dunia. Murid tersebut telah memaklumkan bahawa ilmu yang diperolehi oleh Prof berasal dari Mesir iaitu ketika Prof menuntut di sana. Murid tersebut turut mempelajari teknik mengubat ketika tidur dan bersedia untuk menurunkan kepada sesiapa yang benar-benar berminat.

Saya turut menyertakan gambar Presiden Silat Nasrul Haq iaitu Tan Sri Haji Abdul Samad Idrisbagi tatapan bersama. Kedua-dua tokoh ini telah berganding bahu dalam mengembangkan aliran silat ini sehingga menjadi begitu popular pada sekitar tahun 1960an. Walau bagaimanapun, aliran silat ini telah diharamkan oleh pihak Kerajaan kerana terdapat pertentangan dengan agama Islam. Namun, khabarnya, ramai di luar sana masih mengamalkan serta mempelajari ilmu ini dengan secara sembunyi atau bergerak dengan menggunakan nama silat lain. Wallahualam.


Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Satu keadaan yang sememangnya pasti. Semoga apa yang dipaparkan selama ini bisa memberi sesuatu yang boleh memberi kebaikkan atau sekurang-kurangnya boleh memenuhi masa lapang atau santai saudara dan saudari yang diredhoi sekalian. Segala yang baik dari Allah, yang buruk adalah jua dari izinNya jua, atas pilihan kita sendiri. Kalau kurang mohon ditambahkan, kalau silap mohon diperbetulkan, kalau salah mohon dimaafi, niat dihati cuma ingin berkongsi, apa yang selama ini menjadi rahsia hati, agar boleh dimanafaati oleh sekalian pembaca yang dirahmati. 

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang dirumpun buluh,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah menyusun jari sepuluh.

Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi,
Hari mana bulan mana,
Dapat kita bertemu lagi.

Sumber : wanmudshardihan.blogspot.com
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

8 Comments

  1. Dari sekolah mngh 1988 saya amat meminati buku2 Too Awg Ngah shgga skrg saya msh mncri bukunya,dulu saya mynpn lebih 50 buah buku beliau sbds tpi hnya tggl 20 lbh sj byk yg hlg,
    Bru skrg saya tahu mgnai beliau ini.....
    .Smoga Allah mnmptkn rohnya dikalangn org2 briman...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam...jika Tuan Samurai17 ingin menjual koleksi Tuan bolehlah menghubungi saya di : ibnyaacob@gmail.com

      Delete
  2. Al Fatihah..
    ilmu melayu berlandaskan Islam yg hebat diamalkan oleh org2 dulu...itulah yg hebatnya Melayu dulukala...

    ReplyDelete
  3. En Samurai, bolehkah saya dptkan salinan buku2 BDS tersebut. Saya akan kirimkan wang utk kosnya. Tkasih
    Zainizam@gmail.com

    ReplyDelete
  4. Salam Tuan Azim Aris...adakah benar ada yang sudu menfajarkan teknik pengubatan cara tidur ini?..dengan siapa saya boleh berhubung untuk mendapat kepastian dan mempelajarinya?.
    Tuan Azim boleh hubungi saya di: ibnyaacob@gmail.com

    ReplyDelete
  5. Bole cal saya untuk pertanyaan nasrul hak dan pengubatan jurus tidur. Inshaallah. Saya fikri 0164615761

    ReplyDelete
  6. 0164515761 saya pengamal nasrul hak dan oengubtan jurus tidur

    ReplyDelete
Previous Post Next Post