Wednesday, April 13, 2005

Muhasabah : Kita Sebenarnya Banyak Masa Untuk...


Dengan peruntukan modal selama 24 jam sehari, kita :

- Ada masa untuk bermesra dan berhibur bersama ahli keluarga

- Ada masa untuk berehat untuk menghilangkan penat lelah setelah mencari rezeki

- Ada masa untuk lepak bersama kawan-kawan,

- Ada masa untuk menonton tv

- Ada masa untuk mendengar muzik dan lagu

- Ada masa untuk membaca akhbar,majalah, novel


- Ada masa untuk mengadap komputer ‘online’ berjam-jam tanpa disedari

- Ada masa untuk tidur berjam-jam pada siang hari kerana tiada apa yang perlu dilakukan

- Ada masa untuk pelbagai hobi yang digemari


NAMUN MALANGNYA ANDA…

Tiada masa untuk membaca al-Quran walaupun seketika sedangkan al-Quran itu :

1 - Sumber petunjuk

Firman Allah :

“Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa ( Surah al-Baqarah,ayat 2)

2 - Penawar dan pemberi rahmat

Firman Allah : “Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”. ( Surah al-Isra’ :82)

3 - Sumber keberkatan hidup

“Dan ini (al-Qur’an) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang penuh keberkatan, membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya.” (Surah al An’aam: 92)

4 - Pelajar dan pengajarnya adalah insan terbaik

“Sebaik-baik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.( Imam al-Bukhari)

5 - Pemberi syafaat agung di akhirat.

Sabda Nabi saw : Bacalah al-Quran, sesungguhnya dia datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat untuk tuannya.( Imam Muslim)

6 - Mendengarnya dapat rahmat Allah

“Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” (Surah al-A’raaf, ayat 204) 

7 - Membaca satu huruf dibalas sepuluh pahala.

Rasulullah saw bersabda,

“Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al-Qur’an maka baginya kebaikan sepuluh kali lipat, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf.”
 (Imam al-Tirmizi)

8- Akan membela pembacanya dan mendakwa sesiapa yang mengabaikannya.

Sabda Nabi saw : al-Quran akan menjadi hujjah bagi kamu (pembela) atau hujah ke atas kamu(pendakwa) ( Imam Muslim)

9 - Mengangkat dan merendahkan martabat

Nabi saw bersabda ; Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran”.( Hadith Riwayat Muslim )

10 - Orang yang membaca dengan susah-payah dapat ganjaran dua kali ganda pahala

Sabda Nabi saw :

“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Begitu banyak keutamaan al-Quran yang telah dijelaskan oleh Allah dan RasulNya. Namun :

- Kenapa kita masih alpa dan mengabaikannya?

- Tidak rasa bersalahkah anda kerana tidak membacanya walaupun satu ayat dalam sehari?

- Apakah alasan anda di akhirat kelak? Sibuk? Tiada masa? Tidak pandai? lupa?

- Adakah alasan tersebut akan diterima dan anda dimaafkan begitu sahaja?

 Ketika masa masih ada dan berbaki,  Belajarlah, bacalah, fahamilah dan amalkanlah al-Quran sebelum kita ditalqin dan dibaca al-Quran oleh orang lain.

Buah Yang Mengurangkan Kolestrol


Sesiapa yang didapati mempunyai paras kolesterol yang tinggi biasanya akan mengambil ubat-ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital tanpa membuat kajian kesan ubat tersebut terutama ubat yang paling berkesan untuk menurunkan kadar kolesterol iaitu statin.

Padahal terdapat alternatif lain yang boleh diambil iaitu sumber semulajadi yang dikurniakan oleh Allah iaitu buah-buahan tempatan yang mudah dan murah di pasaran. Antara buah-buahan yang didapati berkesan untuk menurunkan kadar kolesterol ialah :

1) Jambu batu

Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan berfungsi yang banyak mendatangkan manfaat kepada kesihatan manusia.

Bagaimanapun, pengambilan buah jambu batu perlu dibuat dalam jumlah yang mencukupi bagi memastikan khasiatnya berupaya memberi tindak balas kepada tubuh secara berkesan.

Ketua Unit Sains Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rokiah Yusof berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil jambu batu sebanyak 400 gram sehari iaitu sebiji setengah selama empat minggu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Simposium Makanan Berfungsi Asia Pasifik di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, buah itu perlu dimakan bersama kulit-kulitnya sekali kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi.

Selain dimakan begitu sahaja buah jambu batu juga boleh dibuat jus tetapi cara penyediaannya perlu asli iaitu tidak ada gula di dalamnya.

Dr. Rokiah memberitahu, jambu batu sesuai diambil untuk amalan diet seimbang terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan.

Beliau menasihatkan supaya buah jambu batu dijadikan sebagai amalan tetap dalam gaya pemakanan.

Katanya, bagi mereka yang menghadapi masalah paras kolesterol tinggi dalam darah, jambu batu boleh mengurangkan kolesterol iaitu 18.8 peratus dalam masa seminggu.

"Tetapi pesakit mestilah mengambil buah jambu batu setiap hari bagi memastikan keberkesanannya,'' ujar beliau.

2) Betik

Selain jambu batu, buah betik juga boleh menurunkan paras kolesterol sebanyak 19.2 peratus sekiranya diambil secara rutin dalam jangka waktu empat minggu.

Buah betik yang sudah dibuang biji dan kulitnya perlu diambil sebanyak 400 gram sehari.

3) Nanas

Nanas turut tergolong dalam kumpulan buah yang mengandungi vitamin yang tinggi dan ia boleh diambil dalam jumlah yang sama iaitu 400 gram.

Dr. Rokiah menjelaskan, asid yang ada dalam nanas membantu tubuh dan ia tidak memudaratkan mereka yang mengambilnya.

"Dalam nanas ada tambahan vitamin C dan nanas turut berfungsi sebagai antioksida."Malah nanas juga berupaya menurunkan paras kolesterol sebanyak 8.38 peratus dalam masa tiga minggu sahaja,'' katanya lagi.

4) Pisang emas

Bagi penggemar pisang emas pula mungkin ini merupakan berita gembira untuk anda kerana buah tersebut juga berfungsi mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Pisang emas boleh diambil sebanyak empat hingga lima biji sehari dalam tempoh empat minggu.

Bagaimanapun, pisang emas masih tidak dapat menandingi jambu batu yang disifatkan sebagai buah yang paling bagus diikuti dengan nanas, tembikai, belimbing dan betik.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil lima jenis hidangan buah-buahan sehari kerana ia membekalkan vitamin, mineral dan serat kepada tubuh.

Dalam pada itu, Dr. Rokiah juga menolak dakwaan segelintir masyarakat yang menyifatkan sesetengah buah seperti nanas dan betik sebagai ``tajam serta mendatangkan angin dalam tubuh.''

Menurut beliau, tidak terdapat bukti saintifik yang menunjukkan buah-buahan berkenaan memudaratkan kesihatan manusia.

"Ini hanya kepercayaan masyarakat. Tidak ada bukti saintifik yang membuktikan kenyataan mereka itu benar,'' terangnya.

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM telah menjalankan kajian terhadap khasiat buah-buahan tempatan sejak tiga tahun lalu.

"Kami memilih buah kerana semua orang suka makan buah. Ia berbeza dengan sayur-sayuran kerana tidak semua orang gemarkan sayur,'' jelas beliau.

Satu kajian UPM ke atas penduduk luar bandar pada tahun lalu menunjukkan buah-buahan tempatan seperti jambu batu, nanas dan betik berupaya membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Dr. Rokiah berkata, walaupun orang kampung tidak terdedah kepada makanan ringan tetapi menerusi pemeriksaan kesihatan yang dilakukan, para penyelidik mendapati paras kolesterol dalam darah mereka tinggi.

UPM telah melakukan kaji selidik dengan memberi pesakit terbabit buah-buahan tempatan iaitu jambu batu, nanas, betik, tembikai dan belimbing mengikut sukatan yang ditetapkan.

Selepas tempoh tertentu, paras kolesterol dalam darah pesakit-pesakit terbabit diuji dan didapati telah berkurangan berbanding sebelumnya.

Dr. Rokiah kesal kerana orang ramai masih tidak mengambil buah-buahan dalam jumlah yang mencukupi.

"Masyarakat sekarang lebih gemar mengambil makanan tambahan dalam bentuk pil sedangkan ada segelintir daripada produk berkenaan diragui keberkesanannya,'' katanya.


Diedit dari sumber Utusan Online

Santai Azim Aris

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...