DAGING sering dikaitkan dengan lemak dan kolesterol. Siapa yang sering makan daging juga akan menyebabkan kegemukan. Bahkan diet makanan berlemak tinggi seperti daging juga merupakan punca timbulnya pelbagai penyakit.
Namun, ada yang tidak sedar bahawa daging sebenarnya perlu dalam pemakanan harian. Cuma, kuantiti pengambilannya perlulah dikawal.
Daging merah merupakan protein yang penting untuk pertumbuhan gizi. Selain mempunyai kandungan protein yang tinggi, daging mempunyai kandungan asid amino essensial yang lengkap dan seimbang.
Daging merah juga kaya dengan mineral-mineral yang sangat penting untuk tubuh badan manusia. Ia mengandungi zat-zat seperti zat besi, zink, dan mangan serta vitamin B.
Jumlah tenaga dalam daging ditentukan oleh kandungan lemak. Kadar lemak pada daging bergantung kepada jenis, spesies ternakan, makanan dan umur ternakan. Daging juga mengandungi kolesterol. Kandungan kolesterol yang terdapat dalam daging adalah sekitar 100 gram.Kandungan protein dalam daging juga mudah dicerna. Ia mengandungi beberapa jenis mineral dan juga vitamin. Kandungan dalam protein merupakan bahan kimia yang terpenting dalam daging. Selain mempunyai kandungan protein, daging juga membekalkan tenaga.
Namun, pengambilan daging secara berlebihan akan merosakkan lapisan pada arteri. Keadaan ini disebabkan oleh pengumpulan lemak dan kolesterol pada lapisan internal boleh mengakibatkan berlakunya keradangan pada lapisan tersebut.
Kesannya boleh dikenalpasti apabila lapisan internal akan menjadi tidak kuat dan lemak mudah berkumpul pada lapisan tersebut. Pengumpulan lemak pada lapisan tersebut merupakan faktor utama berlakunya embolisme arteri jantung.
Menurut kajian Universiti Sheffield mendapati, pengambilan 57 gram daging telah menunjukkan kesan di luar jangkaan. Golongan wanita yang mengambil daging merah setiap hari walaupun dalam kuantiti yang sedikit berisiko untuk menghadapi kanser payu dara sebanyak 56 peratus.
Penyelidikan yang diketuai oleh Profesor Epidemiologi Zat dan Kesihatan Awam di Amerika Syarikat, Profesor Janet Cade telah membuat kajian dengan membandingkan wanita yang memakan daging dalam kuantiti yang tinggi, sederhana dan rendah.
Hasilnya, wanita yang makan semua jenis daging, daging merah dan daging proses dalam jumlah yang banyak paling berisiko tinggi menghidapi kanser payu dara berbanding wanita tidak memakan daging walaupun daging merah dan daging diproses cuma menunjukkan kesan terhadap wanita menopaus.
Namun dipercayai, pengambilan daging merah secara berlebihan juga menjadi punca berlakunya kanser prostat di kalangan kaum lelaki.
Ketua Unit Urologi Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr. Zulkifli Md Zainuddin menyatakan bahawa daging merah mengandungi karsinogenik (carsinogenik) dan karbon yang berpotensi mendorong berlakunya penyakit tersebut.
Menurut beliau, kanser prostat biasanya dihadapi oleh individu yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit ini.
"Biasanya, ia menyerang golongan peringkat umur 45 tahun ke atas. Malahan, golongan muda juga berpotensi untuk menghadapi penyakit ini," ujar beliau.