Sesi persekolahan 2003 telah bermula. di sini diulang siar artikel berkaitan sebagai peringatan kepada diri sendiri dan semua insan yang bergelar pelajar.
Pesanan kepada semua pelajar agar perbetulkan niat dalam meneruskan sesi baru persekolahan. Betul niat pada hari pertama persekolahan insya Allah akan mudah segala perkara berkaitan dengan pembelajaran sepanjang tahun. Begitu juga dengan guru dan kakitangan.
Sabda Rasulullah saw : Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Dan setiap seseorang berdasarkan apa yang diniatkan. ( Imam al-Bukhari dan Muslim)
Semua penat lelah, pengorbanan masa dan tenaga akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT di akhirat kelak. Bayangkan masa yang dihabiskan bermula pukul 7.30 pagi hingga 2.00 petang merupakan ibadat yang akan menghasilkan pahala untuk ditimbang di akhirat kelak. Beruntungnya pelajar yang mendapat kelebihan ini dan malangnya sesiapa yang pulang ke akhirat dalam keadaan tangan kosong dan fakir pahala…Na’uzubillah.
Pelajar yang ikhlas akan berusaha dengan tekun untuk membalas jasa dan pengorbanan ibubapa, membela nasib keluarga, untuk memartabatkan agama dan untuk memperkasakan umat Islam. Pelajaran tidak menjadikan mereka lalai daripada solat fardu dan menutup aurat dengan sempurna serta menjaga halal dan haram. Ilmu yang dituntut menyebabkan mereka bertambah iman dan takwa. Maka kejayaan akan menjadi milik mereka di dunia dan akan mendapat keredaan Allah SWT di akhirat.
Terdapat juga pelajar yang menuntut ilmu tetapi mendapat dosa. Iaitu bila niatnya semata-mata untuk mendapat habuan dunia, mendapat pujian, sijil dan anugerah. Ilmu yang dipelajari menyebabkan mereka meninggalkan solat dan tidak menjaga batasan agama. Mereka menjadi sombong, angkuh dan lupa daratan bila mendapat kejayaan. Dunia menjadi milik mereka namun di akhirat golongan ini akan dihumban ke dalam neraka.
Bersamalah kita memperbetulkan niat masing-masing dengan menuntut ilmu semata-mata kerana Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan semua urusan dan memberkati setiap ruang kehidupan setiap masa.
Ingat! Buatlah sesuatu perkara untuk mendapat keredaan Allah SWT walaupun dibenci oleh manusia dan jangan melakukan sesuatu perkara kerana manusia sehingga mendapat kemurkaan Allah SWT.