Contoh Lengkap Jurnal Praktikum

MINGGU PERTAMA


Pertama kali mendapat tahu saya dan semua rakan-rakan yang lain perlu menjalani latihan praktikum selama 12 minggu pada semester kedua hati saya terasa seakan berdebar-debar dan juga terasa tidak sabar lagi untuk bertemu dengan murid-murid sekolah. Sebelum ini saya beranggapan bahawa menjadi guru sekolah rendah senang unutk melaksanakan proses pengajaran tetapi rupa-rupanya sangkaan saya meleset sama sekali. Setelah saya pelajari segala ilmu dan juga teori di Insititut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia selama setengah tahun barulah saya tahu bahawa mengajar di sekolah rendah memerlukan seseorang guru itu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam  proses melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran agar dapat menarik minat murid dalam mengikuti proses p dan p dalam bilik darjah.

Hati saya begitu berdebar-debar menantikan tibanya saat-saat untuk saya menjalani latihan praktikum di sekolah selama 3 bulan. Saya cuba gagahi dan kuatkan semangat saya untuk lebih bersemangat dalam berjuang untuk mendidik anak bangsa saya dan juga demi negara. Hari ini merupakan hari pertama saya dan juga kawan saya datang ke sekolah ini untuk melaporkan diri sebagai guru pelatih dalam menjalani latihan praktikum setelah setengah tahun kami didedahkan dengan ilmu dan juga teori-teori pengajaran perguruan di IPBMM. Segala ilmu yang saya perolehi dan tuntuti selama satu semester  yang lepas di IPBMM akan diuji sejauhmana saya dapat mengaplikasikan segala ilmu yang telah dipelajari dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran yang sebenar di sekolah.

Saya sampai ke sekolah seawal jam 7.15 pagi dan saya terus menuju ke arah pejabat sekolah. Nasib saya baik kerana sebelum ini saya telah menjalani latihan pengalaman berasakan sekolah selama dua minggu di sekolah ini pada bulan Mac yang lalu. Namun begitu hati saya turut berasa berdebar kerana pertama kali saya akan berjumpa dengan guru besar yang baru. Setelah melaporkan diri di pejabat dan memperkenalkan diri kepada guru besar dan juga guru penolong kanan, saya dan juga kawan saya telah diminta untuk menhadirkan diri di majlis perhimpunan mingguan di  Dataran Bestari.

Setelah selesai majlis perhimpunan mingguan saya telah menerima memo untuk meggantikan kelas yang ketiadaan guru sementara menunggu guru penolong kanan menyusun jadual untuk saya nanti. Pertama kali saya telah diarahkan untuk memasuki kelas secara tiba-tiba merupakan bagai satu peluang kepada saya untuk berdepan dengan murid-murid. Terdetik juga di hati bagaimana agaknya keadaan murid kelas ketika itu... Saya kuatkan semangat untuk berdepan dengan karenah murid yang pelbagai.

Saya cuba untuk belajar untuk mengawal keadaan kelas yang begitu tidak terkawal. Dengan pelajarnya yang berlari-lari, membuat bising, bergurau dan sebagainya memerlukan saya untuk bertindak lebih tegas dengan murid-murid. Ternyata ianya berkesan. Sukarnya seorang guru seperti saya yang tiada pengalaman dan ditambah lagi dengan masalah suara saya yang kurang kuat menyebabkan beberapa kali saya cuba untuk memberi arahan kepada murid-murid agar diam. Terasa betapa peritnya keadaan untuk mengawal murid-murid yang mempunyai pelbagai karenah. Kelas pada hari tersebut saya hanya mengadakan sesi perkenalan antara saya dengan sesama murid.

Pada hari tersebut saya telah menerima tiga kelas untuk menggantikan guru yang tidak hadir. Lain kelas lain kerenah murid-muridnya. Kelas yang kedua yang saya masuk pula lebih gemar bertanya dan bersaing. Malah mereka juga lebih suka untuk saya mengadakan sesi teka teki. Semua soalan yang ditanya kebanyakkannya semua dapat dijawab dengan banyak jawapan. Terlintas difikiran...bijak juga murid-murid kelas ni....

Manakala kelas yang ketiga pula, merupakan kelas Tahun 4. Dalam hati berkata bagaimana pula dengan murid-murid dari tahun 4 pula? Macamana aku nak kawal murid-murid dari tahun 4? Tahun 5 pun boleh tahan dengan bisingnya...ini apatah lagi Tahun 4 kelas yang dikategorikan tahap sederhana. Bagi mengawal kelas dari terus membuat bising saya telah mengarahkan agar murid-murid membersih dan mengemas meja mereka mengikut susunan yang betul. Akhir sekali saya telah mengajak mereka bersama untuk menyanyikan lagu ”Goreng Pisang” bersama-sama. Ternyata mereka semua terhibur.

Pada jam 1.15 tengahri kami pulang setelah mendapatkan dokumen yang diperlukan.

MINGGU KEDUA


21 Julai 2008 (Isnin)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.25 pagi – 1.15 petang

Hari ini merupakan hari yang kedua aku akan diselia oleh guru pembimbingku iaitu En. Suzili bin Mohamed. Walaupun pernah melalui pengalaman diselia kali pertama namun aku tetap berdebar juga sehingga berpeluh-peluh terutamanya semasa melaksanakan sesi p & p di dalam bilik darjah. Aku cuba mententeramkan diriku agar sentiasa bertenang dan alhamdulilah aku dapat melaksanakan segala aktiviti pengajaran dengan lancar.

Namun disebabkan aku terlalu leka dengan memberi penerangan pada langkah pertama menyebabkan pengurusan masaku untuk langkah-lanagkah seterusnya terpaksa dipendekkan. Walaupun begitu objektif yang dirancangkan tetap tercapai dengan jayanya. Secara keseluruhannya aku berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh murid-murid sepanjang proses p&p berjalan.

Setelah selesai penyeliaan aku sempat bertemu dengan guru pembimbingku untuk mendapatkan komen-komen dari beliau. Ternyata anggapanku tepat iaitu kelemahan dari segi pengurusan masa.

Aku akan cuba menepati setiap masa yang telah aku ranacangkan pada sesi pengajaran dan pembelajaran pada sesi akan datang.
  
22 Julai 2008 (Selasa)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.15 pagi – 1.15 petang

Sepatutnya pada hari ini akau juga akan diseliakan oleh guru pembimbingku bagi kali pertama bagi opsyen minorku iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu. Seperti biasa aku menuggu guru pembimbingku masuk ke kelas tetapi guru pembimbingku tidak masuk juga. Aku meneruskan sesi pengajaranku seperti biasa walaupun persediaan telah dibuat.

Pada sesi p & p pada hari ini aku telah meracangkan pengajaran tajuk yang baru bagi unit yang ke sembilan iaitu Tema Kebudayaan. Murid-murid begitu berminat dan seronok mendengar aku memberikan penerangan tentang kepelbagaian jenis tarian yang terdapat di Malaysia. Objektif pengajaranku pada hari ini adalah untuk mengajar murid-murid menyatakan isi tersurat dan juga isi tersirat berdasarkan gambar rajah yang terdapat di dalam buku teks.

Secara keseluruhannya aku berpuas hati dengan pencapaian murid-murid yang dapat mencapai hasil pembelajaran pada akhir sesi p & p. Sebagai menguji kefahaman mereka aku telah memberikan tugasan kepada mereka untuk membuat ayat berdasarkan gambar yang dipaparkan dalam buku teks.

Aku pulang pada jam 1.30 petang.
  
23 Julai 2008 (Rabu)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.25 pagi – 1.15 petang

Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba iaitu hari ini merupakan hari pertama aku akan diseliakan oleh pensyarah pembimbingku iaitu Dr. Rashidah bt. O.A Rajak. Takut, gementar, malu dan semuanya berkecemuk dalam diriku. Tak tergambar dalam hatiku seakan mahu terluruh jantungku...

Aku cuba menguatkan diriku..beristighfar kepada Allah Ta’ala agar dapat menenangkan diriku. Mungkin disebabkan aku tidak yakinkan diri untuk melaksanakan pengajaranku terutamanya semasa dalam kelas 5 Gigih yang aku rasakan susah untuk aku mengawal keadaan kelas tersebut. Ternyata pada permulaan pengajaran aku begitu gugup dalam memberikan penerangan kepada murid-murid.

Satu kesilapan yang aku lakukan adalah semasa pembahagian tugasan kepada murid-murid di mana aku telah meletakkan terlebih awal kad tugasan di dalam kotak menyebabkan murid-murid tidak lagi mendengar arahan dariku..Ini merupakan percubaan pertamaku dalam pembahagian kad tugasan kepada setiap kumpulan. Sebelum ini tidak aku lakukan pada mana-mana kelas. Namun pada kelas ini ku lakukan sebagai menjimatkan masa dan dalam mengawal keadaan murid agar tidak bergerak ke sana ke mari bertanya apa yang perlu dilakukan oleh mereka. Harapanku pada kelas ini agar mereka tidak membuat bising dan merebut-rebut untuk mendapatkan kad soalanku.. Ternyata rancanganku menjadi sebaliknya..

Komen-komen dari pensyarah pembimbingku aku jadikan pedoman dan panduan kepada rakan seperjuanganku yang akan diseliakan pada keesokan harinya agar tidak melakukan kesilapan yang sama. Pengalaman pertama diselia oleh pensyarah dan juga nasihat yang diberikan akan aku terapkan bagi mengatasi segala kelemahanku sebelum ini dan akan kujadikan segala komen-komen yang membina dari pensyarah pembimbingku sebagai panduan untuk aku merancang dan melaksanakan p &p pada sesi pengajaran yang akan datang.
  

24 Julai 2008 (Khamis)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi – 2.15 petang

Kelasku pada hari ini bermula pada jam 12.35 tengahari iaitu waktu terakhir sekali sebelum sesi pembelajaran pada hari tersebut tamat. Pada waktu pagi yang senggang itu aku cuba menambah sedikit sebanyak dalam penyediaan bahan-bahan sumber yang akan digunakan pada sesi p & p di dalam kelas nanti.

Murid-murid begitu seronok untuk berlakon. Berebut-rebut mereka apabila aku meminta beberapa orang murid untuk melakonkan watak yang telah aku rangkakan. Boleh dikatakan secara keseluruhannya objektif pengajaran pada hari ini mencapai objektif yang diingini.

Pada hari ini juga selepas waktu sekolah aku telah dijemput untuk menghadirkan diri dalam sesi mesyuarat yang akan diadakan di bilik gerakan. Mesyuarat diadakan untuk membincangkan berkenaan dengan peranan dan tugas-tugas ahli jawatankuasa sempena sambutan Israk Mikraj yang akan diadakan pada 30hb Julai ini dan juga Khemah Ibadah dan Motivasi Anak Soleh yang akan diadakan pada 2hb Ogos sehingga 3hb Ogos ini. Keterlibatan semua guru termasuk aku dan rakanku juga perlu dalam menjayakan lagi program ini.

Aku pulang jam 2.15 petang setelah mesyuarat tamat.
  
26 Julai 2008 (Sabtu)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi – 1.15 petang

Hari ini kelas ganti diadakan bagi menggantikan hari persekolahan yang diambil sempena cuti menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan Oktober nanti. Kelas ganti pada hari ini akan menggunakan jadual pada hari Isnin. Kelas pada hari berjalan seperti biasa walaupun ada segelintir murid-murid yang seakan tidak bersemangat untuk belajar pada hari cuti minggu. Pengajaranku pada hari ini adalah di kelas 5 Gigih bagi mata pelajaran Kajian Tempatan dan kelas 5 Harmoni bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Pencapaian objektif menjadi keutamaanku bagi kedua-dua kelas tersebut. Walaupun masa yang singkat bagi pengajaran Kajian Tempatan bagi kelas 5 Gigih lantaran kelas bermula selepas waktu rehat dan murid-murid mengambil masa yang lebih sebelum masuk ke kelas. Masa pengajaran hanya tinggal cuma 15 hingga 20 minit sahaja. Namun begitu aku cuba juga untuk membolehkan murid-murid dapat memahami isi pelajaran yang diajar.

Manakala kelas 5 Harmoni merupakan kelas yang tiada masalah bagi diriku untuk mengawal keadaan kelas. Kerana mereka semuanya agak berdisiplin semasa di dalam bilik darjah. Pengajaranku berjalan dengan lancar dan semua aktiviti yang telah aku rangka dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.
  
1. Masalah
Masalah kali ini adalah berkisar kepada disiplin bilik darjah  di mana murid-murid selalu membuat bising ketika saya sedang melaksanakan sesi p & p di dalam bilik darjah.

2. Analisis
Masalah ini timbul kerana murid tidak mendengar arahan guru semasa berlangsungnya proses p & p di dalam bilk darjah. Selain itu, masalah ini mungkin juga berpunca dari  p & p  yang saya rancangkan di dalam bilik darjah tidak sesuai dengan minat murid menyebabkan mereka tidak menumpukan perhatian kepada pengajaran saya di dalam kelas. Selain itu faktor persekitaran kelas juga mungkin memainkan peranan dalam mempengaruhi murid-murid seperti keadaan murid yang terlalu ramai di dalam sesebuah bilik darjah menyebabkan murid bertambah bising kerana meraka tidak selesa dengan keadaan kelas yang menjadi sempit dan menggangu proses pembelajaran mereka.

3. Cadangan untuk memperbaiki
Terdapat beberapa cadangan boleh dilaksanakan untuk memperbaiki masalah yang wujud iaitu:
(a)   Strategi p & p akan saya rangka sejajar dengan minat dan kebolehan murid di dalam sesebuah bilik darjah.
(b)   Saya juga akan lebih tegas dengan murid-murid semasa proses p & p berjalan.
(c)   Saya juga akan merangka aktiviti pengajaran harian yang lebih menarik agar dapat menarik minat murid-murid  belajar dan terus seronok mengikuti sesi p & p sehingga ke akhir pembelajaran.
(d)   Saya juga akan mmeberikan lembaran kerja yang sesuai dengan tahap kebolehan setiap murid agar mereka tidak membuat bising ketika di dalam bilik darjah.

4. Tempoh masa
Saya akan berusaha mengatasi masalah ini secepat yang mungkin. Hal ini penting kerana ia akan menentukan kelancaran proses P & P saya pada minggu-minggu yang seterusnya.


5. Penilaian kejayaan
Saya telah berjaya mengawal tingkah laku murid-murid di dalam bilik darjah dan juga melaksanakan aktiviti p & p dengan lebih menarik minat murid-murid  dari sebelumnya.


6. Tindakan susulan
Saya akan cuba mengatasi segala masalah saya dengan bersungguh-sungguh. Di mana saya akan cuba mencari maklumat-maklumat untuk mendapatkan ide yang menarik dalam merancang aktiviti di dalam bilik darjah agar pengajaran saya akan jadi lebih menarik lagi. Di harapkan saya akan berjaya mengatasi masalah ini.


MINGGU KETIGA

28 Julai 2008 (Isnin)

Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi – 1.30 petang





Proses p & p pada hari ini berjalan seperti biasa di kedua-dua kelas iaitu kelas 5 Gigih dan kelas 5 Harmoni. Bagi kelas 5 Gigih objektif yang dirancangkan sesuai dengan masa yang dirangka. Boleh dikatakan objektif yang ingin dicapai telah tercapai dengan jayanya, walaupun tidak banyak aktiviti berkumpulan dapat dilaksanakan ekoran masa yang singkat iaitu tidak sampai setengah jam ekoran kelambatan murid-murid yang masuk lambat ke kelas selepas waktu rehat.

Manakala bagi kelas 5 Harmoni sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan menyeronokkan di mana kedua-dua objektifnya tercapai. Suasana dan keadaan murid yang cerdik dan mudah mendengar arahan memudahkan aku untuk mengawal keadaan bilik darjah dan ini sekaligus melancarkan lagi proses p & p berjalan dengan lancar.

Boleh dikatakan saya berpuas hati dengan sesi p & p pada hari ini.


29 Julai 2008 (Selasa)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi – 1.30 petang


Pada hari ini saya tidak mempunyai rancangan p & p ekoran aku telah menukarkan jadual dengan guru pembimbingku, cikgu Suzili kerana bagi memudahkan kepada pensyarah pembimbingku untuk datang menyeliaku bagi matapelajaran minorku iaitu Bahasa Melayu. Biasanya matapelajaran Bahasa Melayu pada hari Selasa, kali ini aku telah menukarkannya pada hari Khamis.

Namun begitu, masa yang ada aku gunakan sebaik mungkin untuk merangka rancangan pengajaran pada keesokkan harinya.


30 Julai 2008 (Rabu)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi – 2.00 petang

Pada hari ini bermula jam 8.00 pagi bertmepat di dewan terbuka Sek. Seksyen 6 Kota Damanasara telah diadakan satu majlis sambutan sempena Israk mikraj yang jatuh pada hari Rabu bersamaan dengan 27 Rejab 1429 iaitu tarikh berlakunya peristiwa israk dan mikraj ini. Semua murid dari tahun 1, 4, 5 dan 6 terlibat dalam mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Kelas bagi proses p & p di 5 Gigih tidak dapat dilaksanakan ekoran murid-murid terlibat dengan majlis tersebut sehingga jam 9.35 pagi.

Namun begitu masa yang tinggal cuma 10 minit aku gunakan untuk mengawal keadaan murid yang tidak terkawal ketika baru memasuki ke kelas sementara menunggu guru seterusnya masuk ke kelas tersebut. Pada hari itu juga aku telah dijemput oleh anak muridku untuk menghadiri majlis sambutan hari lahir dirinya. Terasa diri ini disayangi dan disukai oleh murid kerana sudi menjemputku dan merupakan antara tiga guru yang dijemput hadir untuk memeriahkan majlis sambutan kecil harijadi di dalam kelas sewaktu waktu rehat.

Kelas yang kedua bagi p&p yang seterusnya adalah di kelas 5 Jujur bagi mata pelajaran Kajian Tempatan. Proses p & p berjalan dengan lancar dengan objektif tercapai dan murid-murid tekun dalam mendengar penerangan dariku berkenaan dengan sejarah pembukaan Kerajaan Melayu Melaka. Begitu juga dengan aktiviti berkumpulan yang dijalankan ternyata murid-murid seronok berbincang bersama-sama rakan mereka. Bagiku apa yang penting murid-murid seronok belajar dan objektif dapat dicapai dengan jayanya.

30 Julai 2008 (Khamis)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi – 1.30 petang


Kelasku pada hari ini bermula pada jam 8.15 pagi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di kelas 5 Harmoni. Pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Bagiku perancangan yang dirangka untuk mata perlajaran Bahasa Melayu berbeza dengan mata pelajaran Kajian Tempatan dan juga Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Di mana Bahasa Melayu memerlukan ketig-tiga kemahiran bahasa diterapkan kesemua bagi satu sesi p & p  iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca dan juga kemahiran menulis. Aku cuba menerapkan kesemua kemahiran bahasa ini dalam kelas 5 Harmoni dan diharapkan kesemua murid mendapat kesemua kemahiran tersebut. Secara keseluruhannya objektif yang dirangka mencapai objektif yang telah dirangkakan.

Kelas yang terakhir ialah kelas bagi mata pelajaran Kajian Tempatan di kelas 5 Gigih. Murid-murid seperti tidak dapat dikawal lantaran mereka tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah maklumlah waktu terakhir pembelajaran menyebabkan keadaan mereka tidak terkawal. Aku cuba mengawal dan mententeramkan keadaan pelajar. Setelah itu barulah sesi p & p dapat dilaksanakan walaupun seketika cuma.

Aku pulang pada jam 1.30 tengahari.

1 Ogos 2008 (Jumaat)
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Kota Damansara
7.20 pagi – 12.15 Tengahari

Pada hari Jumaat jadual saya tidak mempunyai sebarang kelas pengajaran dan pembelajaran. Masa yang terluang aku ingin memanfaatkan sebaik mungkin dengan melakukan aktiviti penyediaan bahan-bahan bantu mengajar yang akan ku gunakan pada pengajaran yang akan datang.

Pagi itu juga kami berdua berbincang dalam merangka rancangan pengajaran harian bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran untuk minggu hadapan.

Sesi pembelajaran pada hari Jumaat tamat pada jam 12.00 tengahari bagi memberi laluan kepada guru-guru lelaki untuk menunaikan solat Jumaat.

1. Masalah
Masalah kali ini adalah berkisarkan  kepada gangguan semasa sesi p & p berjalan di mana terdapat segelintir murid yang suka keluar masuk  bilik darjah.


2. Analisis
Masalah ini timbul kerana semasa saya mengajar murid-murid selalu meminta izin dengan saya untuk bertemu guru, menghantar buku dan juga mahu ke koperasi sekolah untuk membeli peralatan alat tulis dan sebagainya. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh saya kurang tegas dengan murid-murid semasa mengajar dan juga ketika berada di dalam kelas. Oleh sebab itulah murid-murid mengambil kesempatan ke atas ketidaktegasan saya semasa berada di bilik darjah.

3. Cadangan untuk memperbaiki
Terdapat beberapa cadangan boleh dilaksanakan untuk memperbaiki masalah yang wujud iaitu:-
(a)  Saya akan lebih tegas dengan murid-murid semasa sesi p & p berjalan.
(b)  Saya juga perlu lebih prihatin dengan tingkah laku murid-murid.


4. Tempoh masa
Saya akan mengatasi masalah ini secepat yang mungkin dalam masa 1 minggu. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran proses p & p saya nanti.


5. Penilaian kejayaan
Di dapati beberapa hari ini kelihatan tingkah laku murid yang kerap meminta izin untuk keluar telah berkurangan semasa saya sedang menjalankan sesi p & p.


6. Tindakan susulan
Saya akan cuba mengatasi segala masalah saya dengan bersungguh-sungguh. Diharapkan segala masalah seperti gangguan yang timbul semasa sesi p & p berlangsung akan dapat saya atasi dengan sepenuhnya.


kata kunci : contoh refleksi praktikum, bahan pendidikan, contoh sebenar refleksi praktikum, refleksi praktikum pismp dan jqaf, kertas kerja ipg, ipgm malaysia, cara mengajar, guru mengajar, kaedah pnp berkesan, contoh lengkap jurnal praktikum, jurnal praktikum
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post