Akhirnya, seperti mana yang dinantikan ramai, hari ini Apple mengumumkan iPhone generasi baru mereka secara rasmi, dengan menggunakan nama iPhone 5 yang diura-urakan ramai sebelum ini. Rekabentuk yang dibawakan juga tidak jauh berbeza dengan gambar-gambar yang diperlihatkan sebelum ini.
Menurut Apple, ia dibina sepenuhnya menggunakan aluminium dan kaca (glass), serta Apple memasarkannya sebagai telefon pintar yang paling nipis dan ringan pernah dibina oleh mereka.
Dari segi perbandingan, ia lebih 18% nipis dan 20% ringan berbanding iPhone 4S. Ia turut menyertakan paparan skrin Retina padanya, membawakan kadar 326 PPI.
Seperti diura-urakan sebelum ini, ia membawakan skrin bersaiz 4-inci, dengan resolusi 1136×640 pixel, pada nisbah 16:9. Perkara ini sekaligus membolehkan sebanyak lima baris aplikasi diperlihatkan padanya. Apple juga mengatakan ia lebih selesa untuk dipegang dan dikendalikan oleh pengguna berbanding yang sebelumnya.
Bercakap mengenai sokongan wireless, iPhone 5 membawakan sokongan rangkaian yang pantas, dimana menyertakan HSPA+, DC-HSDPA dan juga LTE padanya. Untuk makluman, buat masa ini, Malaysia masih tidak menyokong LTE, dan mungkin pengguna tempatan perlu bergantung kepada HSPA+.
Dari segi cip pemprosesan pula, ia menyertakan cip pemprosesan A6, yang membawakan prestasi sebanyak 2 kali ganda berbanding A5 sebelum ini pada iPhone 4S.
Semestinya dengan tenaga pemprosesan yang tinggi, ramai akan tertanya mengenai jangka masa bertahan bateri. Daripada apa yang dikongsikan, masa bertahan bateri iPhone 5 adalah sekitar 225 jam, dimana boleh digunakan sehingga 8 jam untuk pelayaran menggunakan 3G/LTE, dan 10 jam untuk menonton video.
Untuk kamera pula ia turut dikemaskini, membawakan aperturef/2.4 dengan sensor sebesar 8-megapixel. Gambar yang dirakam pula kelak akan bersaiz 3264×2448 pixel padanya. Rakaman gambar berfungsi lebih 40% pantas berbanding sebelum ini. Sokongan rakaman panorama turut disertakan, membolehkan anda merakamkan gambar berkualiti sehingga 28-megapixel padanya.
Bercakap mengenai FaceTime pula, kini ia menyertakan sokongan panggilan HD, membolehkan anda membuat panggilan video dengan lebih stabil. FaceTime kini turut menyertakan sokongan merakamkan gambar ketika membuat panggilan. Selain daripada FaceTime, kualiti panggilan suara turut dipertingkatkan pada iPhone 5.
Untuk kabel penyambung ke komputer dan juga pengecas, ia diberikan nafas baru sejak diperkenalkan sebelum ini. Ia kini dinamakan Lightning, yang mana membawakan rekabentuk bersaiz 80% lebih kecil berbanding sebelumnya. Sebuah aksesori tambahan juga turut diumumkan, membolehkan penggunaan kabel sedia ada padanya.
Seperti kami kongsikan sebelum ini, iPhone 5 bakal dijana menggunakan iOS 6, yang menyertakan lebih 200 perkara baru bersama-sama dengannya. iPhone 5 ini bakal ditawarkan dalam dua variasi warna (seperti biasa), iaitu hitam dan putih.
Sebagai kesimpulan, iPhone 5 menyertakan beberapa perkara baru, termasuk cip pemprosesan A6 yang memberikan kuasa dua kali ganda berbanding iPhone 4S, paparan yang lebih besar, sokongan rangkaian LTE, kamera yang dinaik-taraf, penyambung dock yang lebih kecil, serta dijana menggunakan iOS 6.
tag: apple iphone 5, harga apple iphone 5, fungsi apple iphone 5, kelebihan apple iphone 5, pelancaran apple iphone 5, harga apple iphone 5 di malaysia, aplikasi apple iphone 5, apple iphone 5 murah