KEADAAN Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K dikhabarkan stabil selepas empat hari terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zealand.
Melalui laman mikro Twitter, anak lelakinya berkata Datuk K akan menjalani pembedahan esok.
Muhammad Azief menulis, “baru berjumpa ayah saya. Alhamdulillah, dia masih ingat semuanya dan dia stabil. Berharap dia sembuh secepat mungkin.”
Sementara itu, anak ketiga Datuk K, Mohd Ashraf juga menulis di laman Twitter tentang keadaan ayahnya itu.
“Sudah melihat ayah saya. Dia dalam keadaan yang agak teruk. Saya sangat berharap dia kembali pulih selepas pembedahan esok,” katanya.
Suami kepada penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza itu terlibat dalam kemalangan motosikal Khamis lalu di Queenstown, New Zealand.
Beliau mengalami patah bahu dan kaki serta patah tiga batang gigi.
Siti Nurhaliza kini berada di sisi suaminya di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand.