Tuesday, August 14, 2012

Beban Terlebih Punca KL Monorel Rosak


Punca KL Monorel Rosak
Beban Terlebih Punca KL Monorel Rosak, Prasarana Nafi : Pegawai bomba mendapati beban yang berlebihan adalah punca kerosakan kepada monorel, namun ianya dinafikan oleh Prasarana.
Kejadian monorel rosak dan tersangkut di landasan di Brickfields pada Sabtu lepas mungkin berpunca daripada bebanan berlebihan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata ini kerana pihaknya mendapati sistem brek tidak dapat dilepaskan sekalipun selepas menggunakan alat membebaskan brek di dalam monorel serta melalui alat kawalan jauh di stesen kawalan.
“…brek yang mencengkam hanya dapat dilepaskan selepas kami mendapatkan bantuan daripada pasukan mekanikal daripada Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), selaku penyedia perkhidmatan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata beban berlebihan mungkin punca enjin monorel itu berhenti secara tiba-tiba dan sistem brek mencengkam dengan mengejut.
Sehubungan itu beliau menyarankan agar Prasana melihat semula Prosedur Operasi Standard (SOP) perkhidmatan monorel bagi mengelak kejadian berulang.
Dalam kejadian 2.18 petang Sabtu lepas, 183 penumpang diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields, sejurus keluar dari stesen itu  menuju ke stesen Maharajalela. Tiga daripada penumpang dimasukkan ke hospital kerana pengsan dan sesak nafas.
Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Prasarana, Azhar Ghazali menafikan lebihan muatan punca monorel tersebut berhenti.
Ini kerana katanya ketika kejadian hanya terdapat 183 penumpang berbanding kapasiti sebenar 214 orang untuk satu perjalanan.
Azhar berkata siasatan awal pihaknya juga mendapati kejadian berlaku disebabkan monorel kehilangan kuasa tarikan (traction power) yang mengakibatkan enjin berhenti secara automatik.
Bagaimanapun katanya, kapasiti monorel akan dipertingkat menjelang hujung tahun ini dengan tambahan dua lagi gerabak untuk satu-satu perjalanan berbanding hanya dua sekarang.

No comments:

Santai Azim Aris

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...