Bekas Naib Presiden PAS akan umum masuk UMNO?


Bekas Naib presiden PAS Akan Masuk UMNO?
Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa hari ini dilihat bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan tokoh ulama terkenal di Arab Saudi iaitu Sheikh Dr Abdullah Hamad Jalaly, Mufti Masjidil Haram Makkah Sheikh Dr Sulaiman Al Salumi dan Ketua Hakim Mahkamah Makkah Dr Saleh Darwish.
Ketiga-tiga ulama itu mengunjungi Najib yang mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang berlangsung di kota suci Makkah mulai hari ini.
Sungguhpun gambar ini ‘sederhana’ namun ia terkandung sejuta makna dan silaturahim yang tersirat.
Mungkin adalah terlalu awal untuk mengaitkannya dengan ‘penghijrahan’ Nasaruddin ke parti UMNO kerana yang pasti beliau masih seorang ahli Pas.
Tetapi dilihat dari ‘gerak-geri’ Nasaruddin sebelum ini, adalah tidak mustahil beliau akan menyertai UMNO sebagaimana khabar angin yang bertiup kencang sejak akhir-akhir ini.
Nasaruddin sebelum ini memang dilihat sebagai tokoh Pas yang ‘pro-UMNO’ apatah lagi bila beliau bersikap dinamik membawa idea ‘perpaduan’ dengan parti berkenaan.
Namun, awal-awal lagi cubaan beliau telah ‘dipatahkan’ oleh pemimpin Pas lain yang tidak senang dengan perpaduannya, hinggalah beliau gagal dalam pertandingan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke -57 pada tahun lalu.
Mungkinkah di saat kita dikejutkan dengan tindakan beberapa pemimpin Barisan Nasional Sabah meninggalkan parti itu, kita akan dikejutkan pula dengan tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang akan menyertai BN?
Apatah lagi menurut sumber Mynewshub.my, Nasaruddin akan mengumumkan secara rasmi penyertaannya ke dalam UMNO sebaik saja pulang dari tanah suci nanti.
Seandainya benar apa yang difahamkan, sedikit sebanyak ia pasti akan mewarnai lanskap politik tanah air.
Sementara itu, menurut laporan Bernama,  tokoh-tokoh ulama berkenaan turut menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya meletakkan Islam sebagai teras kepada kemajuan.
Najib memberitahu wartawan Malaysia di sini, ketiga-tiga ulama Arab Saudi itu memuji kerajaan Malaysia kerana berjaya mengukuhkan kedaulatan Islamiah apabila meletakkan Islam sebagai agama persekutuan walaupun rakyatnya berbilang kaum dan juga fahaman agama.
Katanya lagi, para ulama Arab Saudi juga kagum dengan kepimpinan kerajaan Malaysia yang memupuk hubungan baik antara ulama dan umarak dan mahukan negara Islam lain menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju.
“Kita juga memaklumkan mengenai konsep Wasatiyah yang kita pegang dari dulu dan di peringkat negeri pula kita mempunyai enakmen yang menyebut pegangan kita ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengelakkan berlaku sebarang konflik dan kerosakan akidah dan sebagainya,” kata beliau.
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post