Misteri Naga Tasik Chini


Sejak dari dahulu lagi kisah naga di Tasik Chini sering menjadi sebutan sehinggalah sekarang. Kisah naga terlalu sinonim dengan tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera iaitu Tasik Chini. Beratus tahun telah berlalu, namun lagenda ini masih terus melingkari penduduk setempat. Pelbagai kisah telah diceritakan berkaitan misteri di kawasan ini. Walaubagaimanapun, kita tidaklah diminta untuk mempercayainya seratus peratus.
Kisah 1
” Peneroka Felda Chini 2, Bahasan Abdullah,51, berkata kewujudan naga di Tasik Chini memang benar kerana dia sendiri pernah melihatnya pada 1986.Walaupun mungkin ada menganggap apa yang dikatakannya itu sebagai dongeng, tetapi peristiwa yang berlaku dalam hidupnya membuktikan sebaliknya. “Ketika itu, saya mengangkat jaring ikan di kawasan Laut Gumum tetapi tersangkut ular besar di situ dan berhasrat membebaskannya.
“Bagaimanapun, selepas melihat ular itu seperti melawan, saya kemudian menetak kepalanya hingga terkulai mati. “Saya meletakkan ular itu dalam sampan dan terkejut kerana melihat darahnya seperti darah manusia, begitu banyak dan kemudian mencampakkannya ke tasik,” katanya.
Bahasan berkata, ketika bahagian hujung jaring diangkat, seekor lagi ular daripada spesies sama tersangkut di situ dan dia juga turut membunuh ular berkenaan. Katanya, ketika menaiki sampan menuju ke pangkalan bot pada kira-kira jam 10 pagi, secara tiba-tiba dia melihat tiga lengkungan badan naga yang sangat besar muncul di permukaan air.”Walaupun jaraknya jauh dan hanya beberapa minit, tetapi saya melihat jelas badan naga berwarna hitam itu sangat besar dan ombak yang terhasil juga sangat kuat. “Ketika itu, dua lelaki Indonesia yang sedang mandi di tepi tasik itu turut melihat kejadian itu dan bergegas naik kerana ombak terlalu kuat,” katanya.Bahasan berkata, sekembalinya ke rumah, kepalanya berasa gatal dan pada hari ketiga, kesan gatal di kepala itu akhirnya menjadi seperti debu.
“Tidak lama kemudian, seluruh badan saya menjadi lemah dan dijangkiti penyakit seperti kudis melepuh berair yang berbau hanyir.”Lebih 30 bomoh saya temui di seluruh negara untuk mengubat penyakit misteri ini tetapi gagal, malah saya pernah dimasukkan ke hospital selama 20 hari pada 1988 tetapi doktor mengesahkan saya tidak berpenyakit,” katanya. Bahasan berkata, penyakit itu turut menyebabkan isterinya lari meninggalkannya. Katanya, seorang bomoh di Terengganu yang ditemuinya memaklumkan penyakit itu hanya akan sembuh dengan usaha dirinya sendiri.
“Saya menderita penyakit ini selama 13 tahun dan hanya sembuh selepas saya nekad pergi semula ke kawasan saya menemui ular itu dulu.”Saya berdoa pada Allah dan mengambil air Tasik Chini yang dicampurkan dengan tanah tasik, kemudian disapu ke seluruh badan. “Rawatan itu saya buat setiap hari dan bersyukur akhirnya sembuh juga tetapi kenangan itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya yang mungkin terkena sumpahan naga di situ,” katanya.”
Kisah 2
Berdasarkan cerita rakyat, seekor naga besar dikenali Naga Seri Gumum, dikatakan menghuni Tasik Chini dan kisah itu turut dipaparkan pada papan tanda besar yang diletakkan di Tasik Chini Resort untuk dibaca pelancong yang datang ke situ.Menurut cerita orang tua-tua, satu ketika dahulu, sekumpulan Orang Asli suku Jakun datang ke kawasan hutan tebal, lalu meneroka dan membuka tanah di situ untuk bercucuk tanam.
Pada satu hari, ketika kumpulan Orang Asli itu berkumpul untuk bercucuk tanam, tiba-tiba muncul seorang wanita bertongkat dan memberitahu, tempat berkenaan adalah miliknya dan mereka perlu meminta izin sebelum menerokanya. Bagaimanapun, wanita itu akhirnya mengizinkan mereka membersihkan kawasan itu selepas Tok Batin meminta maaf dan bagi menguatkan tuntutannya, wanita berkenaan mencacakkan tongkatnya di tengah kawasan yang diterokai itu sambil memberi amaran supaya tidak mencabutnya sebelum dia menghilangkan diri. Kumpulan itu terus bercucuk tanam sehingga tiba-tiba mereka diganggu dengan salakkan anjing di pinggir kawasan yang dibersihkan.
Seorang daripada mereka mengambil keputusan untuk mencari puncanya dan terkejut apabila mendapati bunyi salakkan itu datang daripada sebatang kayu hitam besar yang lapuk. Lalu dia membaling tugalnya (kayu tajam untuk membuat lubang tanaman) ke arah batang kayu itu dan terperanjat apabila melihat darah memancut keluar daripada kayu hitam berkenaan. Dengan gementar dia terus berlari dan menceritakan hal ganjil itu kepada rakannya, tetapi rakan²nya tidak mempercayainya.
Ketika itu juga awan hitam menyelubungi angkasa, diikuti guruh dan kilat sebelum hujan lebat. Kumpulan Orang Asli itu berpecah sambil bertempiaran lari mencari perlindungan dan dalam keadaan kelam kabut, seorang daripada mereka mencabut kayu yang dicacakkan wanita tadi. Ketika itu serta merta air memancut keluar daripada lubang itu, bumi mula bergegar dan membenamkan kawasan yang dibersihkan tadi dan takungan air hujan itu menjadi sebuah tasik dikenali sebagai Tasik Chini.
Dongeng orang tempatan mengatakan kayu itu adalah jelmaan seekor naga dikenali sebagai Naga Sri Gumum dan kawasan alur yang terdapat di sekitarnya adalah kesan laluan Orang Asli dahulu ketika cuba menyelamatkan diri. Cerita lagenda itu menjadi buah mulut daripada masyarakat dahulu sehingga sekarang walaupun Tasik Chini itu seluas 12,565 hektar termasuk kawasan hutan sekitarnya sudah melalui proses pembangunan sehingga menjadi tempat rekreasi yang menarik. Kawasan Tasik Chini mempunyai 12 laut mengelilinginya iaitu Laut Gumum, Pulau Balai, Chenahan, Tanjung Jerangkung, Genting Teratai, Mempitih, Kenawar, Serodong, Melai, Batu Busuk, Labuh dan Jemberau.
Kisah 3
BERATUS tahun lamanya legenda naga mengisi pemikiran dan kepercayaan Orang Asli yang berumah di sekitar Tasik Chini, Pekan, Pahang. Namun bagi Tok Batin Kampung Tanjong Puput, Bahrain Sunta, 54, dia tidak pernah melihat dengan matanya sendiri kelibat sang naga yang disebut-sebut itu. Yang dia tahu, ada yang memanggil haiwan itu Seri Gumum, Seri Pahang, Seri Pekan atau Seri Daik.
Bagaimanapun, katanya, tidak menyaksikannya sendiri bukan bermakna dia tidak mempercayai legenda itu. ”Saya memang tak pernah jumpa (naga). Tetapi saya percaya ia wujud. Kalau disebut naga, itu betul, harus percaya walaupun tidak melihatnya dengan mata sendiri.
“Anak saya pernah ternampak seekor naga pada tahun 2000. Katanya dia tengok badan dan kepalanya. ”Empat tahun kemudian, seorang anak kecil nampak naga itu meluru dengan muncungnya menghala ke arahnya. Apabila anak itu menjerit, kelibat makhluk itu terus hilang.
“Budak itu ceritakan kepada kami tentang mukanya yang sebesar kepala lembu. Menakutkan! Anak itu trauma sampailah demam,” kenang Bahrain.
Malah sebelum itu, ketua keluarga di Tanjong Puput ini sudah banyak kali menyaksikan penduduk kampung lari lintang-pukang kononnya ternampak makhluk misteri itu. Mengakui mendengar kisah itu daripada nenek moyangnya melalui penceritaan dari mulut ke mulut, Bahrain turut menggunakan pendekatan yang sama terhadap anak-anaknya.
“Ia diperturunkan sebagai satu sejarah. Tujuannya ialah supaya anak-anak berhati-hati ketika menghampiri air,” ujar bapa kepada 12 orang anak yang berumur antara 10 hingga 30 tahun ini.
Bahrain tidak pula menganggap mereka yang mendakwa pernah melihat naga itu sebagai memiliki kelebihan atau keistimewaan.
“Sudah nasib mereka untuk jumpa naga itu. Saya percaya ada orang tertentu saja yang boleh nampak, bukan semua orang. Tetapi mereka tidak ada kelebihan apa-apa berbanding orang lain,” kata Bahrain. Penduduk kampung juga tidak pernah risau memikirkan tentang sang naga.
“Ia bukan ancaman untuk kami. Belum pernah lagi ia mengganggu kami. Hanya sekali-sekala dilihat di permukaan air,” sambungnya.
Menurut Bahrain, tiada sebarang upacara dibuat untuk ‘mententeramkan’ haiwan itu, jauh sekali memujanya. Yang pasti, penduduk Tanjung Puput hidup seperti biasa, jauh daripada ketakutan terhadap seekor naga yang entahkan ada entahkan tidak.
Bahrain berkata, sudah ada antara anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti. ”Seorang sudah habis belajar dan sekarang menjadi pengurus Risda di Sungai Terpai, Pahang. ”Ada juga yang sedang belajar di Universiti Putra Malaysia,” jelas Bahrain. Namun dia juga mengakui ramai anak kampung yang tidak lagi menyambung pelajaran selepas tamat sekolah menengah.
Pandangan dilempar ke pondok terbuka bersebelahan. Sekumpulan wanita sedang asyik meraut batang kayu renyah, gedomba dan relung untuk menghasilkan sumpit. Sima yang merupakan isteri Bahrain, cukup bersahaja melakukannya.
“Inilah aktiviti kami setiap hari. Yang perempuan buat kerja-kerja kraf atau masuk ke hutan mencari produk hutan. ”Yang lelaki masuk ke hutan untuk berburu atau ke laut mencari ikan,” katanya yang menjelaskan perkataan laut sebenarnya merujuk kepada bahagian-bahagian tasik di sini.
Kemas dan halus saja buatannya. Mengukir motif daun bertangkai untuk menghiasi hasil kraf itu, Sima berkata setiap wanita boleh menyudahkan dua batang sumpit dalam sehari mengikut kemahiran masing-masing. Alat yang suatu ketika dahulu dihasilkan sebagai senjata kini lebih cenderung dijadikan alat perhiasan. Jika dahulu ia terdiri daripada kayu sepenuhnya, kini bahagian dalamnya sudah berlapik besi.
“Dulu kami dapatkan sumber sepenuhnya dari hutan. Namun sekarang kami beli hampir separuh daripadanya dari pekan,” ujarnya yang menambah, barangan yang dihasilkan dijual sehingga ke pasaran Indonesia manakala harganya ditentukan mengikut kepanjangnya. Selain sumpit, mereka turut membuat bekas pensel dan perahu kecil untuk mainan kanak-kanak.
Langsung tidak membuatkan kami berasa jauh di pedalaman, Sima mudah saja berkongsi bahawa legenda naga tidak banyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Lima keluarga yang dianggotai lebih lapan orang setiap satunya meneruskan hidup di kampung ini tanpa rasa terhimpit dengan legenda yang masih ‘bernyawa’ itu.
Di sebuah lagi pondok terbuka, tiga orang wanita muda sedang rancak bermain batu seremban atau selambut. Membaling-balingkan bungkusan kecil pasir ke udara, kedengaran gelak tawa mengekek penuh keseronokan. Namun, tatkala kami menghampiri, masing-masing mendiamkan diri. Mungkin malu agaknya.
Kisah 4
Sebuah lagi lagenda Tasik Chini adalah berkenaan kota purba Khmer (Thai-Kampuchea) yang tenggelam di situ. Misteri ini mungkin akan diperjelaskan tidak lama lagi setelah penemuan beberapa artifak yang seakan-akan buatan Khmer purba, serta kemungkinan tapak asas binaan di dasar Tasik Chini ketika penyelidikan dijalankan baru-baru ini.Ramai juga membuat spekulasi mengenai pokok teratai di situ, kerana teratai adalah sebahagian unsur kebudayaan purba di Asia Tenggara yang didominasi agama Hindu serta Buddha – tambahan pula di lain-lain tasik di seluruh Malaysia, tiada teratai yang tumbuh secara semula jadi. Ada yang berpendapat bahawa teratai Tasik Chini tumbuh meliar lanjutan teratai yang dahulunya disemai oleh penghuni kota Tasik Chini yang tenggelam.
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post