Kenapa Komik Ultraman Ultra Power Diharamkan

SHAH ALAM - Penggunaan kalimah ALLAH dalam komik 'Ultraman The Ultra Power' dipercayai menjadi punca mengapa ia diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ultraman

Menurut KDN, watak Ultraman King yang digambarkan seperti ALLAH, jelas boleh mengelirukan pemikiran kanak-kanak terhadap sifat ALLAH.

Tambah KDN, perintah larangan terhadap bahan penerbitan ini juga disebabkan watak Ultraman menjadi idola kepada kanak-kanak.

Oleh itu, KDN telah mewartakan larangan terhadap buku itu, berkuat kuasa 18 Februari lalu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Adalah menjadi satu kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan.

"Mereka yang disabitkan melakukan kesalahan menerbitkan bahan bacaan seperti ini boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali," demikian menurut KDN dalam satu kenyataan.

Buku dalam bahasa Melayu itu adalah terbitan Resign Publications, manakala pencetaknya ialah Network Printers.


Sumber : Sinar Harian
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post