Bahaya Minyak Masak Guna Kali Ketiga = Racun

Minyak masak racunIsu Akrolein Dalam Minyak Masak Terpakai | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan yang disiarkan dalam akhbar KOSMO bertarikh 13 Disember 2013 bertajuk ”Tiga Kali Guna Jadi Racun: Pakar pemakanan ingatkan pengguna mengenai bahaya racun akrolein dalam minyak masak terpakai”. Laporan tersebut mendakwa penggunaan minyak masak yang sama melebihi tiga (3) kali boleh memudaratkan kesihatan. KKM amat peka dan prihatin terhadap isu keselamatan makanan yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Acrolein adalah cecair tidak berwarna dengan bau terbakar dan menusuk hidung. Ia dihasilkan dari perindustrian propylene dan digunakan sebagai racun perosak mengawal alga, rumpai, bakteria, dan moluska serta digunakan untuk membuat bahan kimia lain. Selain daripada itu, ia juga boleh terbentuk pada kadar yang sangat rendah semasa pemanasan minyak pada suhu tinggi.

Pendedahan kepada acrolein kebanyakannya berlaku melalui pernafasan (inhalation) contohnya asap rokok dan ekzos kereta. Acrolein boleh menyebabkan kerengsaan kepada kulit, mata, dan rongga hidung, tekak serta boleh merosakkan paru-paru. Menurut International Agency for Research on Cancer (IARC), acrolein tidak dapat diklasifikasi sebagai karsinogen pada manusia kerana tiada bukti kukuh yang menunjukkan acrolein bersifat karsinogenik.

Sehingga kini, tiada sebarang standard yang ditetapkan bagi tempoh ideal atau kekerapan menggunakan minyak masak sebelum ia perlu dibuang kerana ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah jenis makanan, kandungan air dalam makanan, kekerapan penggorengan dan suhu menggoreng. Minyak masak yang digunakan berulang kali perlu dibuang dan digantikan dengan minyak masak baru jika berlaku perkara berikut :
  1. Warna minyak masak menjadi perang pekat.
  2. Minyak masak menjadi lebih likat atau pekat.
  3. Minyak masak berbau tengik.
  4. Asap banyak dihasilkan semasa minyak masak dipanaskan.

KKM telah menyediakan panduan kepada pengguna bagi membezakan kualiti minyak masak berdasarkan kepada perubahan warna selepas digunakan berulang kali dan cara pengendalian yang betul bagi meningkatkan jangka hayat minyak masak yang boleh diperolehi melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my dan Portal MyHealth http://www.myhealth.gov.my


YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia

16 Disember 2013
Perkongsian adalah diambil dari sumber yang dinyatakan untuk panduan semua.
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

3 Comments

Previous Post Next Post