Tuesday, January 12, 2016

Pertukaran Guru Dibuka 3 Kali Setahun

Pertukaran guru dibuka tiga kali setahun
12 Januari 2016

PUTRAJAYA - Permohonan pertukaran guru dibuka tiga kali setahun pada Januari, Jun dan Disember bermula tahun ini bagi mengatasi masalah guru yang terpaksa berjauhan daripada pasangan mereka, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata sebagai permulaan, permohonan pertukaran guru yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dibuka semula pada 15 hingga 25 Januari ini.
Bagaimanapun, katanya, pertukaran itu tidak melibatkan guru yang mengajar di kelas peperiksaan iaitu Tahun Enam, Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima supaya tidak mengganggu aktiviti pengajaran dan pembelajaran pelajar.
"Sebelum ini, pertukaran dibuat dua kali setahun iaitu pada Jun dan Disember. Bagaimanapun, bagi guru yang mengajar di kelas peperiksaan, permohonan elok dibuat pada hujung tahun sahaja kerana kelas sedang berjalan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2016 kepada kira-kira 3,000 warga Kementerian Pendidikan dan pelajar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Mahdzir menarik perhatian bahawa terdapat 149 guru yang lebih 10 tahun berjauhan daripada pasangan tetapi tidak pernah membuat permohonan pertukaran tempat berkhidmat.
Beliau juga berkata Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula tugas memasukkan data beberapa aplikasi dalam talian bagi membolehkan guru memberi tumpuan kepada tugas hakiki iaitu pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata terdapat beberapa jenis data yang sepatutnya tidak perlu dimasukkan setiap hari ke dalam pangkalan data pusat kementerian sehingga membebankan guru.
"Contohnya, data kehadiran murid yang perlu dimasukkan ke dalam pangkalan data sebelum 10 pagi setiap hari. Saya dapat tahu ada guru yang terpaksa naik bot dari pulau ke tanah besar semata-mata nak masukkan data kerana tiada kemudahan internet.
"Di sesetengah sekolah, pembantu guru tidak mencukupi, jadi guru yang terpaksa buat tugas-tugas seperti ini," katanya.
Mahdzir berkata data seumpama itu boleh disimpan dan dikumpulkan di peringkat sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah dan dikemukakan hanya apabila diminta oleh Kementerian Pendidikan.
Mengenai proses kenaikan pangkat ke jawatan guru besar dan pengetua, beliau menjelaskan syarat lantikan akan dipermudahkan tanpa terlebih dahulu melalui kursus National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL) di Institut Aminuddin Baki.
"Sebelum ini, pergi kursus dahulu kemudian barulah dilantik. Mulai tahun ini, mereka boleh terus dilantik atas nasihat profesional termasuk pengarah Jabatan Pendidikan Negeri," katanya.
Menurutnya pengkhususan opsyen mata pelajaran yang diajar oleh guru di peringkat sekolah rendah juga akan dilonggarkan.
"Bagi Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam mungkin sukar, tetapi bagi subjek seperti Bahasa Melayu, Sains dan Matematik Tahun Satu, Dua atau Tiga, pertukaran guru adalah lebih mudah.
"Di peringkat sekolah menengah, tidak boleh buat begitu kerana pelajar sudah ada pengkhususan mata pelajaran dan tahapnya lebih sukar," jelas beliau. - Bernama

Sumber  FB

No comments:

Santai Azim Aris

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...