Oleh ROHAMI SHAFIE
TUNTUTAN dunia sekarang mengubah manusia lebih bersikap materialistik. Mengejar wang ringgit demi untuk menjalani kehidupan selesa yang sudah tentulah lebih ke arah keselesaan berbentuk materialistik jua. Maka, sesuatu yang tidak mengejutkan apabila adanya kajian yang menunjukkan golongan pekerja kita lebih mementingkan gaji berbanding mengutamakan kepuasan bekerja.
Justeru, tidak menghairankan, sering kali kita mendengar pekerja yang sanggup bekerja sampingan demi wang ringgit berbanding melakukan kerja hakiki dengan sepenuh hati. Mereka sanggup berebut-rebut sesama sendiri sebarang kerja sampingan berbanding kerja hakiki mereka yang sememangnya dibayar secara bulanan.
Bagi mereka, apalah gunanya bekerja lebih bagi tugas hakiki sedangkan gaji sama sahaja dibayar. Lebih elok bekerja lebih untuk perkara-perkara lain yang bukannya tugas hakiki mereka. Kononnya, dengan cara ini mereka bijak menggunakan peluang sedia ada dengan memerah keringat untuk tugasan berbayar, walhal tugasan tersebut bukanlah hakiki.
Ini antara contoh pemikiran materialistik di kalangan pekerja kita. Maka, tinggallah kerja-kerja hakiki tersebut untuk golongan yang tidak mahu berebut kerja berbayar demi mencapai kepuasan bekerja. Malangnya, golongan ini tidak ramai, yang ramai golongan yang menolak kerja-kerja sedemikian rupa.
Apabila dikaitkan dengan materialistik, kita tidak boleh lari daripada bercakap mengenai pentingkan diri sendiri. Justeru, kita boleh lihat betapa banyaknya syarikat di negara-negara barat yang muflis sejak sekian lama dek kerana antara faktor utamanya membudayakan cara kerja yang materialistik dan mementingkan diri sendiri.
Sebab itulah Islam mengajar agar kita bekerja dengan ikhlas dan tidak mengharapkan wang ringgit semata-mata. Yang penting gaji yang diperoleh diberkati oleh Allah SWT meskipun memperoleh pendapatan yang rendah.
Keberkatan pendapatan boleh diperluaskan kepada keuntungan syarikat mahupun pendapatan negara. Tidak akan bertahan lama bagi sesuatu perniagaan yang menjalankan peniagaan dengan cara yang salah umpamanya menipu, menyeleweng dan mengamalkan rasuah.
Mana mungkin sesebuah syarikat mampu mencatatkan keuntungan secara mapan jika sekiranya operasi hariannya penuh dengan tipu muslihat dan cara yang salah bagi memperoleh keuntungan.
Yang peliknya, meskipun diajar oleh Islam agar menjalankan perniagaan secara betul dan tidak menindas sesiapa sahaja terutamanya pelanggan, masih ramai peniaga meneruskan perniagaan dengan cara yang tidak betul.
Mereka sewenang-wenangnya menipu pelanggan dengan menaikkan harga, mereka juga tidak ambil peduli kebajikan para pekerja dan tidak kurang juga ada majikan yang sanggup menjalankan perniagaan haram secara berselindung di sebalik perniagaan halal.
Matlamat mereka untuk memperoleh keuntungan berlipat kali ganda mesti dicapai dengan cara apa sekalipun. Jika beginilah yang dilakukan, mana mungkin keuntungan tersebut memperoleh keberkatan Allah SWT. Mungkin syarikat-syarikat tersebut mampu untuk mencatatkan keuntungan dalam jangka masa pendek tetapi percayalah satu hari nanti perniagaan tersebut tidak mampu bertahan lama.
Tidak kurang juga, konsep keberkatan pendapatan amat penting bagi sesebuah kerajaan. Wang cukai mahupun wang zakat ataupun hasil bukan cukai yang diperoleh daripada rakyat perlu digunakan sebaik mungkin. Sebaik mungkin bermaksud ia digunakan untuk kebaikan rakyat dan negara tanpa adanya sebarang penipuan, penyelewengan dan pembaziran. Wang cukai dan zakat serta hasil bukan cukai yang dikumpul oleh kerajaan perlu dikembalikan kepada rakyat dan negara.
Umpamanya, apabila kerajaan bercadang untuk memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua jika memperoleh tambahan kutipan cukal daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), keputusan ini patut disokong oleh semua pihak.
Tidak salah dalam pusingan kedua ini bagi mereka yang layak dibayar dua kali ganda jumlahnya berbanding pusingan pertama iaitu sebanyak RM1,000 jika sekiranya adanya lebihan wang kerajaan. Pembayaran boleh dibuat sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Di samping itu, bantuan tersebut merupakan strategi serampang dua mata bagi merangsang ekonomi negara ketika kesan krisis hutang Eropah dijangka akan dirasai oleh negara kita pada suku ketiga tahun ini.
Bagi yang membayar cukai, tidak perlulah mengeluh. Ini sebagai tanda sokongan mereka untuk membantu golongan yang memerlukan. Sekali lagi, tidak perlulah terlalu pentingkan diri sendiri dan berasakan kejayaan mengumpul kekayaan tersebut hanya atas usaha diri sendiri kononnya tidak menerima sebarang bantuan daripada orang lain.
Percayalah, tiada seorang pun golongan kaya-raya di muka bumi ini yang boleh mendabik dada bahawa kekayaan yang dikumpul oleh mereka atas usaha diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Sikap sombong sebeginilah yang menyebabkan pendapatan yang diperoleh masih tidak mencukupi meskipun cukup besar bagi orang lain. Dengan kata lain tiada keberkatan atas harta kekayaan yang dikumpul.
Justeru, Islam mengajar umatnya bersyukur atas pendapatan yang diperoleh dan kembalikan sebahagiannya untuk orang lain yang memerlukan. Buang sikap bakhil tidak bertempat kerana ia boleh memudaratkan diri sendiri. Dengan kitaran sebegini akan membuahkan kemajuan ekonomi negara yang bukan sahaja mapan tetapi yang paling utama diberkati oleh Allah SWT.