4. Tamat belajar bukan bermakna tamatnya mencari ilmu. Memang ilmu boleh dipelajari secara tidak formal, tetapi jika diteruskan secara formal maka ia lebih baik. Sambunglah pengajian ke peringkat seterusnya, Sarjana (MA) dan Doktor Falsafah (PhD). Jika ia terpaksa ditangguhkan sekalipun kerana keperluan lain, maka jangan diabaikan langsung dan letakkanlah garis masa agar kita tidak melepasinya. Kita memerlukan lebih ramai ilmuan yang amanah dan beramal dengan ilmunya.
5. Jika waktu belajar peringkat ijazah Sarjana Muda dahulu kita hanya mengetahui apa dan bila, maka peringkat seterusnya kita bakal mengkaji mengapa dan bagaimana. Sifat ilmu itu semakin digali semakin dalam, kerana ia milik Allah Azza wa Jalla. Tidak akan habis dan tidak pernah kering.Kefahaman kita juga akan semakin mantap apabila menyambung pengajian. Al-Raghib aAl-Asfahani (502H) menyebut bahawa faham itu ialah:Mengetahui yang tersembunyi di sebalik sesuatu dan sampai ke tempat yang paling mendalam. (al-Asfahani, al-Mufradat Fi Gharib al-Qur’an)
6. Jangan sesekali kita merasa cukup dengan ilmu yang kita miliki sekarang. Kita tidak dianggap berilmu dengan ilmu yang silam sebaliknya kita digelar berilmu selagi mana kita belajar. Imam Ghazali (505H) menyatakan:Ibn al-Mubarak berkata: Seseorang itu sentiasa berilmu selagi mana menuntut ilmu. Jika dia menyangka bahawa dia sudah berilmu sesungguhnya dia jahil. (al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din)
Budaya berbeza
7. Alam yang bakal ditempuh selepas ini adalah berbeza dengan alam ketika menjadi mahasiswa/wi. Jika di kampus kita dibimbing dan sentiasa ditegur oleh pensyarah, namun selepas ini kita akan lebih berdikari dalam semua aspek kehidupan. Jika dahulu kita menerima dan menimba ilmu, tetapi selepas ini kita pula yang bakal mengajar dan memimpin ummah. Budaya bagi kedua-dua alam ini cukup berbeza, maka jangan terkejut sehingga kita berubah tiada pegangan dan tujuan. Ingatlah pesanan nabi SAW yang diriwayatkan oleh Huzaifah RA yang bermaksud:Janganlah kamu menjadi imma’ah (tiada pendirian), dengan mengatakan: jika manusia baik maka kami akan baik, dan jika mereka lakukan kezaliman kami juga lakukan kezaliman, akan tetapi tetapkanlah diri kamu, jika manusia baik maka hendaklah kamu lakukan kebaikan dan jika mereka lakukan kejahatan, maka janganlah kamu lakukan kezaliman. (Riwayat Tirmizi)
8. Ketika Allah SWT berikan amanah memegang sementara jawatan sebagai seorang guru atau pegawai kumpulan profesional, jangan lupa kepada matlamat besar sebagai khalifah dan tugas mendidik ummah. Jawatan itu adalah wasilah dan gaji itu adalah upah. Pastikan upah itu berkat dengan melaksanakan amanah dengan bersungguh. Kita akan memegang duit gaji yang tiada siapa boleh menganggu hak tersebut. Jika dahulu kita terpaksa kuburkan segala keinginan dunia kerana duit yang ada adalah untuk membayar yuran pengajian dan asrama serta keperluan kerja kursus, nanti suasananya berbeza kerana keperluan itu semua sudah tidak perlu. Maka duit di hadapan mata akan menguji kemahuan dan kehendak diri.
9. Kemahuan dunia tidak salah dipenuhi tetapi jangan lupa akan keperluan akhirat. Dalam harta kita ada hak bagi golongan yang memerlukan yang tidak boleh diabaikan. Dahulu kita pernah susah ketika belajar kerana kesempitan wang, maka nanti jangan kita melupakan golongan yang memerlukan. Firman Allah SWT dalam surah al-Dzariyat ayat 19 bermaksud:Dan pada harta-harta mereka, hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
Tegakkan dan sebarkan kebenaran
10. Dalam apa jua keadaan bersamalah dengan kebenaran. Jadilah dalam kalangan mereka yang menegakkan kebenaran. Jangan lepaskan peluang untuk bersama dengan penegak kebenaran, kerana kebenaran itu adalah milik milik Allah SWT yang tidak boleh kita ragu-ragu. Kita akan selamat jika bersama dengan kebenaran, tetapi belum tentu selamat jika mengikut dan bersama dengan orang. Allah SWT mendedahkan kepada kita pada hari akhirat nanti terdapat manusia yang menyesal kerana patuh dan mengikut orang, firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 66-67 bermaksud:Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata: Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasulullah. Dan mereka berkata lagi: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.
11. Setiap zaman kumpulan ini sentiasa wujud untuk berhadapan dan melawan kebatilan. Ini adalah sunnatullahyang akan berterusan hingga hari kiamat. Jangan pernah letih dalam pertarungan ini. Kita telah dididik dan diajar sepanjang tempoh pembelajaran sebelum ini dengan ilmu dan pedoman di dada, nah sekarang kita bakal berada di alam sebenar di tengah-tengah masyarakat yang sebahagiannya rabun dan kabur kebenaran. Biarlah kita dianggap musuh kebatilan dan kezaliman asal bukan musuh kebenaran. Allah Azza wa Jalla memberi amaran kepada kita, firmanNya dalam surah Hud ayat 113 bermaksud:Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
12. Maka sebarkanlah kebenaran agar kita semua selamat sewaktu hidup dan selepas mati nanti. Ia perlu dilakukan secara kolektif dan objektif agar lebih berkesan. Kita tidak akan mampu melawan badai kebatilan yang boleh menghancurkan, kerana mereka bergerak secara berpasukan dan terancang. Maka bersendirian dalam menyebarkan kebenaran mengundang lambat dan sakit yang menggagalkan.
Dekati masyarakat
13. Jika menjadi guru di sekolah atau pegawai di pejabat adalah amanah, maka mendekati dan membimbing masayarakat pula adalah tanggungjawab sosial. Hanya menumpukan kepada kerjaya semata-mata dengan menunggu gaji setiap akhir bulan, tetapi mengabaikan masyarakat tanpa sebarang islah adalah ananiahmementingkan diri sendiri. Mereka memerlukan bimbingan kita dalam mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang sebenar. Mereka dahagakan ilmu yang kita dapat sepanjang pengajian kita sebagai siswa/wi. Dengan ilmu mereka akan lahir sebagai masyarakat yang berakhlak. Pembinaan dan kekalnya ummah berdiri di atas ketinggian akhlak, namun jika mereka kehilangan akhlak maka lenyaplah mereka. Penyair terkenal Ahmad Syauqie (1351H) bermadah:Sesungguhnya ummah itu selagi akhlaknya ada, jika hilang akhlak maka mereka turut lenyap.
14. Tidak perlu teori yang sukar untuk berkomunikasi dengan masyarakat jika kita sentiasa solat berjemaah di surau atau masjid di tempat tinggal kita. Ruangkan masa untuk menghadiri pengajian yang diadakan, urusan jenazah dan khairat kematian jangan dilepaskan, begitu juga perlu turut serta dalam aktiviti gotong royong yang diadakan. Memencilkan diri daripada masyarakat akan merugikan diri sendiri dan dakwah Islamiah. Sebagaimana mereka memerlukan kita, kita juga memerlukan mereka, kerana manusia adalah makhluk yang bersosial. Ibn al-Qaiyim (752H) menyatakan:Sesungguhnya insan itu diciptakan bersosial tabiatnya, dia mesti hidup dengan manusia lain, yang mereka semua mempunyai kehendak masing-masing. (Ibn al-Qaiyim, Zad al-Ma’ad Fi Hadyi Kahiri al-‘Ibad)
15. Apabila bersama dengan masyarakat, segala ilmu dan akhlak kita akan diaplikasikan. Hal ini menjadikan kita dinamik kerana kita sedang berinteraksi dengan manusia yang pelbagai latar belakang dan karenah. Ilmu dakwah, feqh, akidah, psikologi, kemahiran mendengar, pemerhatian, membuat kesimpulan dan sebagainya. Adakah kita bersabar atau sebaliknya? Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:Orang mukmin yang bercampur dengan manusia dan bersabar terhadap karenah mereka lebih besar ganjarannya daripada seorang mukmin yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar dengan mereka. (Riwayat Ibn Majah)
16. Tiada tujuan lain kita bersama dengan mereka melainkan ingin memimpin mereka agar kembali kepada Allah SWT dengan mengikut ajaran yang dibawa oleh nabi SAW. Kita semua adalah pendidik ummah penyambung tugas nabi SAW. Firman Allah SWT dalam surah Yusof ayat 108 bermaksud:Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah; dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.
17. Kesimpulannya, ijazah yang diterima perlu disambut dengan penerusan ilmu dan amal, agar kegembiraan konvokesyen boleh kekal dan berterusan hingga ke akhirat insyaAllah.