Dalam kejadian di Jalan USJ Sentral 2 itu, mangsa Norazita Abu Talib, 37, terkulai di hadapan pintu bilik kebal bank berkenaan akibat cedera parah di mukanya selepas terkena tembakan Pump Gun digunakan suspek.
Iring mangsa simpan wang di bilik kebal
Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga petugas wanita bank diiringi suspek berusia 37 tahun itu, membuka pintu bilik kebal terbabit untuk menyimpan sejumlah wang tunai.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata sebaik peti pintu kebal itu dibuka, suspek kemudian dipercayai melepaskan tembakan yang terkena muka mangsa.
“Selepas itu, suspek mengarahkan seorang lagi pekerja memasukkan wang tunai dari bilik kebal itu ke dalam beg hitam yang dibawanya.
“Sejurus memperoleh wang berkenaan, suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank ini, kita mendapati suspek tidak gementar ketika melakukan rompakan,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Pengawal gantian
Abdul Rahim berkata, suspek adalah pengawal keselamatan gantian, selepas pengawal sedia ada di bank itu tidak bertugas semalam.
“Dia menggantikan petugas lain pada hari ini dan sebelum ini juga pernah diberi tugas sama untuk mengawal keselamatan bank ini,” katanya.
Abdul Rahim berkata, siasatan awal polis menemui keraguan dalam kad pengenalan suspek yang disyaki palsu, namun ia akan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Al fatihah
Sumber : sinarharian