Demam Bola, Ponteng Kerja, Judi Bola



TIDUR bola, makan bola, mandi bola, apa pun bola. Bermulanya Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 pada Sabtu lalu, juga menandakan bermulanya demam bola kepada jutaan peminat sukan berkenaan di seluruh negara.

Pada ketika ini, sembang dan cakap-cakap mengenai bola boleh didengar dan dibaca di mana-mana saja. Tidak cukup di tempat kerja, di kedai-kedai kopi, malah di laman- laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Euro 2012 meredakan dan menenggelamkan sedikit cerita-cerita dan ‘perang komen’ mengenai isu-isu politik tanah air di laman-laman sosial. Kini mereka bertindak sebagai pengulas sukan pula.

Jika sebelum ini mereka asyik mengutuk atau mengata parti politik itu atau ini semuanya tidak betul, tidak habis-habis temberang atau auta, kini mereka bersatu menyokong pasukan bola sepak pujaan mereka.

Begitulah bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di kebanyakan negara di dunia, dapat menyatukan semua rakyat, tidak mengira bangsa, kaum, agama dan fahaman politik. Semangat seperti ini memang amat baik sekali. Dan kalaulah ia dapat dikekalkan dalam apa jua keadaan, alangkah baik dan amannya Malaysia ini.

Sudah pastinya dalam tempoh hampir tiga minggu inilah ‘kaki-kaki bola’ ini akan bersengkang mata untuk menyaksikan perlawanan pasukan pilihan mereka yang kebanyakannya berlangsung pada awal pagi. Restoran-restoran mamak pula sesak yang luar biasa, memang meriah sungguh.

Pun begitu dalam suasana full house itu hakikatnya, tauke-tauke restoran mamak ini tidaklah seuntung mana. Restoran memang penuh, yang tak penuh adalah peti duitnya.

‘‘Mana ada untung, tak adalah. Duduk lama, berjam-jam tapi minum satu atau dua gelas air sahaja, pelanggan lain yang mahu makan pun tak ada tempat duduk, lari tempat lain," itu kata seorang pekerja di Restoran Pelita, Seksyen 9, Shah Alam kepada saya semasa saya menonton perlawanan pembukaan Euro 2012 antara Poland dan Greece bersama beberapa orang kawan di situ.

Berbalik kepada bersengkang mata menonton perlawanan bola sepak, sudah tentunya pada sebelah siangnya kaki-kaki bola ini merasa mengantuk dan letih. Tumpuan terhadap kerja atau urusan-urusan penting yang lainnya boleh terganggu.

Kita sudah biasa mendengar apabila tiba sahaja demam bola, tidak kira Piala Dunia atau kejohanan liga Inggeris, ramai yang ponteng bekerja dengan mengambil sijil sakit (MC) atau saja ‘mereka-reka’ cerita cemas untuk mendapatkan cuti kecemasan. Datang ke pejabat pun dengan muka yang layu dan mata yang kuyu. Tidak kurang juga yang hilang, tidur di mana-mana. Ini sudah tentu menjejaskan produktiviti kerja.

Jadi tidak hairanlah apabila Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan kejatuhan produktiviti pekerja sepanjang kejohanan Euro 2012 ini.

Berdasarkan siri-siri demam bola yang lalu, majikan perlu bersedia untuk menghadapi dan menangani masalah ponteng kerja atau cuti sakit pada tempoh kejohanan sukan yang berprestij ini.

Penyakit ponteng ini juga tidak terkecuali kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi. Golongan ini juga, liat untuk ke kelas dengan mencipta macam- macam alasan setelah berjaga sampai ke pagi menonton bola.

Jadi kepada pelajar sekolah, menjadi tanggungjawab ibu bapa masing-masing untuk memastikan anak mereka ke sekolah terutamanya yang bakal menghadapi peperiksaan utama iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hanya tinggal beberapa bulan lagi, supaya mereka tidak ketinggalan pelajaran yang diajar di kelas.

Yang tidak sedapnya, apabila tiba musim bola, timbul semula aktiviti perjudian secara online.

Polis memberitahu, biarpun pernah ditangkap dan dikenakan tindakan tegas kerana mendalangi sindiket perjudian bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia dua tahun lalu, namun ramai bookie yang sama tidak serik untuk menjadi penaja aktiviti haram itu pada Euro 2012.

Bukan setakat judi besar-besaran, ada juga yang bertaruh sesama rakan-rakan di tempat kerja dalam perlawanan kejohanan ini. Ini kerja salah. Bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi agama.

Jadi kepada peminat-peminat bola sepak, bola, bola juga! Kerja tetap kerja. Dan jangan menjadikan kejohanan Euro ini, kononnya untuk mendapat duit lebih, tapi akhirnya kocek hanya tinggal habuk, dek kerana kalah berjudi.
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post