Pernahkah kita tanya pada diri sendiri kenapa kebanyakan kita takut hantu? Setujukah anda jika saya katakan perasaan takut itu sudah ditanam dalam diri kita sejak kecil?
“Dah lewat ni, tidur. Jangan bising, nanti momok ambil.”
“Beranilah pergi kat situ, ada hantu...”
“Adik, masuk rumah, dah Maghrib ni, nanti kena sorok dek hantu.”
Kata-kata di atas ini macam biasa sangat didengar kan? Ya, betul. Inilah kata-kata yang diguna pakai oleh ibu bapa sejak turun temurun semata-mata untuk menakutkan anak dan melatih mereka berkelakuan baik. Walau dunia sudah semakin moden, masih ramai ibu bapa terikut-ikut dengan cara kuno ini. Ya, cara ini memang sudah lapuk tetapi diakui cukup berkesan. Lihat sahaja apa yang berlaku pada kita-kita ini. Sampai sekarang kita takutkan hantu walaupun rata-rata kita langsung tidak pernah terserempak dengan makhluk yang satu ini. Semuanya hasil pengalaman ditakut-takutkan dengan hantu semasa kecil.
Fikir dan tanyalah diri sendiri, betul ke cara yang diamalkan ini. Saya yakin tentu ada yang lantang menyatakan bahawa cara ini salah. Jadi, kalau sudah tidak betul, kenapa ramai yang masih praktikkannya? Tepuk dada, tanyalah hati.
Sebenarnya, kenapa kita perlu takut pada hantu? Apa yang hantu boleh buat pada kita? Hantu tidak boleh mencederakan kita kerana hantu juga makhluk Allah SWT. Untuk pengetahuan, hantu ialah syaitan di kalangan jin yang mengganggu manusia dengan menakut-nakutkannya. Tanggapan bahawa hantu adalah roh manusia yang mati tidak tenteram dan seumpamanya adalah tidak berasas berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukminum: 99 dan 100 yang bermaksud,
“(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku berbuat amal soleh terhadap perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding (alam barzakh : yang mereka tinggal tetap padanya) sampai hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)”.
Ayat ini menjelaskan bahawa roh orang yang mati itu berada di alam barzakh yang menghalang mereka untuk kembali ke dunia ini.  Demikian juga wujudnya azab dan nikmat kubur yang menafikan sama sekali roh itu akan kembali ke dunia semula.
Seperti manusia, hantu tidak boleh melakukan apa-apa pun melainkan dengan izin Allah SWT. Sepatutnya, kita mesti ubah ketakutan terhadap hantu kepada takutkan Allah SWT kerana Dialah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. “Sesungguhnya perintahNya apabila Dia menghendaki sesuatu, hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.” Surah Yassin:82
Jadi, apa kata mulai saat ini, kita didik anak-anak menjadi lebih berdisiplin dengan menekankan tentang pentingnya takutkan Allah SWT melebihi segala-galanya. Beritahu mereka bahawa Allah SWT memerhatikan kita setiap detik, mengetahui setiap tingkah laku kita dan yang paling penting tahu apa yang ada dalam hati kita. Tidak ada satu pun perbuatan dan perkataan kita yang Allah SWT tidak tahu. Semuanya dicatit untuk dibentangkan pada hari pembalasan kelak. Kita langsung tidak boleh menyorok daripada pengetahuanNya. Inilah yang kita kena takut kerana setiap perkara yang kita lakukan akan dibalas. Balasan ke atas perbuatan baik tentunya yang menyeronokkan dan menggembirakan tetapi bagi balasan kejahatan, seksaan Allah SWT sungguh dahsyat. Tiada manusia yang mampu menanggungnya. Jadi, marilah kita bersama-sama mendidik anak agar takutkan Allah SWT sejak kecil kerana Dialah Pencipta kita.
Kenali 9 jenis syaitan
Menurut Umar Al Khattab r.a, ada 9 jenis anak syaitan:
1.      Zalitun
Syaitan ini duduk di pasar dan kedai supaya manusia hilang sifat jimat ceramat. Dia juga menggoda manusia supaya berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.
2.      Wathiin
Syaitan ini akan pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah SWT.
3.      A'awan
Syaitan jenis ini menghasut sultan / raja / pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan dan kekayaan sehingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.
4.      Haffaf 
Syaitan ini berkawan baik dengan kaki botol. Dia suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat.
5.      Murrah
Syaitan jenis ini berperanan merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yang sukakan muzik sehingga lupa Allah SWT. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamor.
6.      Masuud
Syaitan ini duduk pada bibir-bibir manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang mula daripada kata-kata.
7.      Daasim
Syaitan ini duduk di pintu rumah kita. Oleh itu, berilah salam sebelum masuk ke dalam rumah walaupun tiada orang di dalamnya. Hal ini kerana jika kita tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumahtangga, suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas memukul isteri, isteri hilang pertimbangan lalu menuntut cerai, anak-anak didera dan bermacam-macam lagi perkara buruk berlaku dalam rumah tangga.
8.      Walahaan
Syaitan jenis ini menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat yang lain.
9.      Lakhuus
Syaitan yang satu ini merupakan sahabat orangg Majusi yang menyembah api / matahari.

Sumber : http://pama.karangkraf.com/ekstra/kenapa-takut-hantu-1.121061