Punca Jantung Tersumbat



Baru-baru ini seorang rakan saya bertanya saya kenapakah sahabatnya yang berhenti merokok di dapati menghadapi masalah jantung tersumbat. Pertanyaan itu seolah-olah menyatakan bahawa disebabkan berhenti merokok maka jantung akan tersumbat.
Hakikat sebenarnya punca saluran darah di jantung tersumbat adalah kerana pemakanan yang salah. Merokok juga boleh menyebabkan masalah penyakit jantung dan dengan berhenti merokok boleh mengurangkan risiko penyakit jantung. Tetapi ramai perokok yang berhenti merokok memilih untuk makan secara tidak sihat yang akan akhirnya menyebabkan masalah yang sama. Apabila seseorang baru berhenti merokok memang akan berlaku masalah selera makan yang tinggi dan susah dikawal.
Oleh kerana itu, amat penting untuk kita faham tentang jenis-jenis makanan yang boleh menyebabkan saluran darah jantung tersumbat.
1.      Makanan yang kaya dengan gula dan manis adalah diantara punca berlakunya penyumbatan pada saluran darah jantung. Gula yang didalam makanan kita akan membentuk bahan yang dipanggil AGE (Advance Glycation Endproducts) yang boleh menyebabkan masalah inflammasi atau  kebengkakan (inflammation) yang dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan kencing manis.
Gula juga menyebabkan peningkatan paras kolesterol dalam darah yang menyebabkan saluran darah tersumbat akibat kolesterol berlebihan. Gula juga meningkatkan paras kolesterol ‘trigliserida’ yang boleh menjadi punca saluran darah mengalami masalah inflammasi dan pembentukan plak kolesterol dengan lebih cepat dan menyebabkan masalah saluran darah jantung tersumbat.
AGE ini juga menjadi punca kepada masalah atherosclerosis iaitu saluran darah menjadi keras akibat pemendapan kolesterol pada dindingnya. Apabila saluran darah menjadi keras maka ia akan menyebabkan pembentukan ‘plak kolesterol’ yang akan menyebabkan saluran darah menjadi tersumbat. Makanan yang kaya dengan AGE ini adalah makanan yang bergula tinggi dan juga makanan yang digoreng dengan minyak yang panas dan juga makanan digoreng ‘dalam’ (deep frying). Proses ‘grilling’ atau membakar dengan api sehingga berkerak hitam seperti barbeque dan satey juga menghasilkan AGE secara berlebihan. Menurut kajian, secara umumnya makanan yang berprotein tinggi dan berlemak tinggi apabila dimasak dengan suhu yang tinggi akan menghasilkan lebih banyak AGE. Untuk mengurangkan AGE dalam makanan, maka proses masak secara kukus, rebus, sup, masak berkuah (stewed) adalah lebih baik.

2.      Makanan yang digoreng dengan minyak yang banyak dan suhu yang tinggi (deep fried) food adalah diantara makanan yang boleh menyebabkan saluran darah tersumbat. Bukan hanya kerana kandungan AGE yang tinggi tetapi proses menggoreng itu menyebabkan komposisi biokimia makanan itu berubah. Apabila makanan berkolesterol digoreng, maka kolesterol akan bertindak dengan oksigen dalam minyak menghasilkan oxicholesterol iaitu kolesterol yang teroksida. Ianya lebih mudah menyumbatkan saluran darah. Proses menggoreng juga akan meningkatkan radikal bebas dalam makanan tersebut dan menyebabkan kerosakan sel-sel didinding saluran darah yang akhirnya memudahkan pembentukan plak kolesterol yang akan menyumbatkan saluran darah dijantung. 

3.      Makanan yang kaya dengan ‘lemak trans’ yang boleh menyebabkan saluran darah dijantung tersumbat. Menurut kajian Nurses’ Heart Study lemak trans ini lebih merbahaya dari lemak tepu dari haiwan dan ianya meningkatkan risiko sakit jantung dua kali ganda. Contoh makanan yang kaya dengan lemak trans ini adalah marjerin, biskut, jajan, kerepek kentang, popcorn, muffin, kek, pastri, mee segera dan pelbagai lagi makanan proses yang berlambak dipasaran sekarang. Kajian mendapati peningkatan paras kolesterol jahat LDL dalam darah dengan pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak trans ini.

Dalam satu kajian oleh Prof Robert Vogel dalam tahun 1997 di University of Maryland School of Medicinemenunjukkan makanan segera (Fast Food) seperti berger, hotdog, kentang goreng, ayam goreng, pizza, ‘hash brown’, nugget dan sebagainya juga mengandungi lemak trans ini yang boleh menyebabkan saluran darah dijantung tersumbat.

4.      Makan makanan kaya dengan lemak tepu seperti daging lembu, daging kambing, minyak sapi juga menjadi punca kepada masalah saluran jantung tersumbat. Makan makanan yang mengandungi lemak tepu secara berlebihan akan menyebabkan peningkatan kolesterol LDL dan menurunkan paras kolesterol baik HDL. Ia juga menyebabkan berlakunya inflamasi pada dinding saluran darah yang menyebabkan berlaku pemendapan kolesterol disitu yang dipanggil sebagai atherosclerosis yang menyebabkan saluran darah menjadi keras. Proses inflamasi ini akan menyebabkan interaksi kompleks diantara kolesterol LDL, platelet, kalsium dan sel-sel inflammasi berkumpul pada dinding saluran darah dan membentuk ‘plak kolesterol’ dan ini akan menyumbatkan saluran darah tersebut.


5.      Kajian juga mendapati makanan yang tinggi dengan garam sodium atau natrium seperti garam biasa dan serbuk perasa (MSG) juga boleh menyebabkan saluran darah tersumbat. Sodium yang berlebihan akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan ini akan menyebabkan tekanan darah meningkat. Apabila tekanan darah meningkat keadaan ini dipanggil sebagai Darah Tinggi (Hypertension). Seseorang yang mengalami masalah Darah Tinggi lebih mudah mendapat masalah plak kolesterol yang menyumbatkan saluran darah.

Kajian oleh American Heart Association(AHA)  mendapati mengawal penggunaan garam dan mengurangkan risiko saluran darah tersumbat. AHA mencadangkan had limit untuk pengambilan garam  adalah 2400mg sehari sahaja. Makanan segera seperti kentang goreng, ayam goreng, berger, nugget, mee segera dan sebagainya yang ada dalam pasaran sekarang mengandungi kadar garam yang amat tinggi begitu juga makanan kering seperti ikan masin dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, makanan proses, makanan bergoreng, makanan segera, makanan yang mengandungi lemak trans, makanan yang kaya dengan gula dan garam adalah punca kepada masalah kolesterol yang merbahaya dan boleh menyumbat saluran darah jantung.

Dalam artikel saya yang akan datang saya akan menulis berkenaan makanan yang boleh membalikkan proses ini dan membantu melancarkan pengaliran darah dalam saluran darah dijantung.

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE

Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post