Terjumpa pasal entri ini dalam laman sosial yang dikongsi oleh rakan, cukup berguna untuk panduan mendidik anak di jaman sekarang, kredit kepada tuan punya blog...
1. SOLAT
Solat adalah perkara yang paling dititikberatkan. Abi pernah sekali memotong wayar televisyen apabila kami lewat mengerjakan solat maghrib kerana leka menonton kartun Doraemon. Ya, Abi juga yang membaikinya tetapi kami tidak lagi menonton televisyen pada waktu maghrib semenjak peristiwa itu.
Che pula tidak pernah bosan bertanyakan kami tentang solat sebanyak lima kali sehari.
2. WAKTU MENONTON TV TERHAD
Televisyen hanya boleh ditonton apabila sudah solat dan kerja sekolah telah disiapkan. Biasanya kami boleh menonton televisyen selama sejam atau sejam setengah sehari.
Astro dipasang di rumah kami agak lewat. Apa pun, kami lebih enjoy menonton televisyen beramai-ramai cerita P. Ramlee misalnya.
Oh ya, televisyen diletakkan di dalam bilik Che dan Abi. Jadi yang tidak selesaikan kerjanya tidak boleh masuk semasa orang lain menonton. Tidak ada juga yang berpeluang curi-curi menonton televisyen pada waktu tengah malam.
3. KOMPUTER
Begitu juga dengan komputer, kami hanya dibenarkan bermain komputer apabila semua kerja telah diselesaikan. Satu kerjas jadual masa untuk kami bermain komputer akan dibuat.
Setiap orang yang ingin bermula bermain komputer perlu menulis jam berapa dia mula dan apabila selesaj sejam, kertas akan ditanda, menandakan masa untuk hari itu sudah habis.
4. TIADA KOMIK & GAME
Kami tidak pernah merasa membeli komik seperti Kreko, Doraemon atau yang sewaktu dengannya. Kalau Abi terjumpa komik seperti itu di mana-mana, akan dibuang serta merta.
PS1, PS2, PS3, PSP? Hanya terjumpa dalam mimpi sahaja. Sedangkan televisyen pun kadang-kadang perlu dipegang aerialnya untuk mendapatkan siaran yang elok ketika Astro belum dipasang.
Che dan Abi juga cukup tidak suka jika kami pergi ke rumah kawan untuk bermain permainan di atas.
5. TIADA TELEFON BIMBIT
Kami tidak diberikan telefon bimbit sehinggalah masuk ke sekolah menengah. Itu pun telefon turun temurun daripada generasi sebelah atas. Telefon yang diberi biasanya kerana kami tinggal di asrama. Itu bagi memudahkan kami menghubungi Che dan Abi di rumah. Bukan telefon mahal, tetapi yang tiada warna jauh sekali yang boleh melayari internet.
Oh ya, salah seorang daripada kami tidak pernah mati kerana tidak mempunyai telefon bimbit.
6. HUBUNGAN ADIK BERADIK AKRAB
Hubungan sesama adik beradik amat dijaga. Yang bergaduh akan cepat disuruh berpeluk dan bermaafan. Biasanya kami akan tergelak apabila disuruh berpelukan begitu. Acah-acah gelilah katakan.
Panggilan abang atau kakak kepada adik beradik yang lebih tua adalah diwajibkan. Kalau hanya panggil nama saha, anda tidak akan dilayan. Malah dari dulu hingga sekarang, kami 8 beradik tidak pernah menggunakan kata ganti nama "aku, kau' sesama kami.
7. BALIK RUMAH SEBELUM WAKTU 7 MALAM
Kami bebas bermain di luar bermula selepas waktu asar dan wajib berada di rumah sebelum jam 7 malam. Jika balik pada jam 7.01 malam, Che atau Abi akan menunggu di depan pintu dengan rotan. Atau lebih teruk, kami akan duduk di luar sehingga dibenarkan masuk. Biasanya selepas isyak. Oh ya, keesokkannya kami akan grounded.
Grounded atau denda tidak boleh keluar rumah sehingga dimaklumkan adalah perkataan yang paling ngeri keluar dari mulut Che suatu ketika dahulu. Sesiapa yang rounded hanya mampu melihat adik beradik yang lain keluar bermain dari celahan pagar.
Taktut akan grounded juga menyebabkan kami banyak berhati-hati untuk tidak membuat kesilapan di dalam kehidupan seharian.
8. MINTA IZIN SEBELUM KELUAR
Sebelum keluar rumah kami wajib minta izin terlebih dahulu. Tak kiralah nak ke mana-mana. Kami akan ditanya nak pergi ke mana, dengan siapa, apa yang akan dilakukan di sana dan bila akan balik. Jadi dengan cara itu Che dan Abi tahu dengan siapa yang kami berkawan.
Terbiasa meminta izin sebelum keluar ini kekal sehingga sekarang.
9. WAJIB IKUT CHE DAN ABI PULANG
Sesiapa saja wajib ikut apabila Che dan Abi pulang ke kampung atau ke rumah saudara mara yang lain. Tak kira sama ada balik raya atau sekadar open house. Hasilnya, kami adik beradik mengenali dengan baik hampir kesemua waris, baik di sebelah Abi atau sebelah Che.
Nak duduk di rumah juga? Silakan tetapi kad Astro akan dibawa atau disorok.
10. DIAJAR BERSEDEKAH
Kami diajar untuk memberi sejak dari kecil lagi. Abi tak pernah lupa memberi aku seringgit dua pada setiap hari Jumaat untuk dimasukkan ke dalam tabung. Che dan Abi tidak pernah gagal untuk memberi kami syiling di pasar malam untuk diberi kepada peminta sedekah. Malah kucing yang datang ke meja makan, kami sekeluarga biasanya akan mendapat rezeki.
Kucing hanya akan dihalau jika kedua kakinya sudah naik ke atas kerusi. Kakak sulung yang takut dengan makhluk tersebut.
11. HORMAT
Kami diajar untuk menghormati sesiapa sahaja. Kami diajar untuk berterima kasih kepada pakcik-pakcik yang bekerja mengutip sampah. Menutup hidung apabila nampak mereka adalah satu perbuatan yang tidak sopan.
Penjual karpet atau makcik jual keropok tidak pernah dihalau. Malah sesiapa sahaja yang datang mengetuk pintu rumah biasanya akan disediakan air selepas seharian mereka berpanas mencari rezeki. Tidak kira sama ada yang datang adalah pemotong rumput atau kanak-kanak yang bekerja meletakkan kertas iklan di rumah-rumah.
Cuma sekarang perlu lebih berhati-hati akibat manusia semakin ramai yang berpura-pura.
12. JAGA SILATURRAHIM SESAMA JIRAN
Abi dan Che sangat menjaga hati jiran. Ada sahaja lauk yang dibungkus ole hChe dan kami akan bergilir-gilir mengetuk pintu rumah memberi kepada jiran-jiran.
Biasanya juga akan ada orang yang datang ke rumah kami mengadu masalah. Kami akan curi-curi dengar dari sebelah dalam. Che dan Abi akan cuba juga untuk membantu semampu yang mungkin.
13. TAK DIAJAR HIDUP MEWAH
Abi tidak pernah mengajar kami hidup mewah walaupun Abi boleh dikatakan bergaji besar. Abi boleh saja memilih untuk bertukar-tukar kereta mewah atau membeli rumah idamannya. Tetapi Abi lebih suka menggunakan kereta Proton Satria atau Mercedes lamanya untuk membawa kami berjalan-jalan. Dan kadangkala kami sepuluh anak beranak bergerak menaiki dua kereta kerana tak muat.
Masa Abi juga banyak dihabiskan dengan anak-anak walaupun Abi sibuk. Jarang atau rasanya tidak pernah Abi keluar melepak di kedai mamak sehingga lewat malam. Selepas solat, biasanya kami sekeluarga akan bersembang. Juga semasa makan. Bahkan jika keluar makan di luar juga kami banyak berkomunikasi.
Aku tahu, ini mungkin hanya 10% daripada keseluruhan yang Che dan Abi terapkan kepada kami. Tetapi ini adalah antara yang aku ingat dan aku akan cuba untuk terus berkongsi. InshaAllah.
Aku tidak tahu sama ada ianya masih relvean untuk generasi hari ini tetapi apa yang pasti, inilah didikan yang menjadikan kami 8 adik beradik menjadi manusia berisi. Didikan luar biasaakan menghasilkan generasi yang luar biasa dan begitu juga sebaliknya. - Musa Nuwayri | PIXEL MEDIA