Laksana dana penyelamat bersepadu elak krisis terus melarat.
Bagi yang menonton Euro 2012 awal pagi tadi, tentu sudah mengetahui siapa bergelar 'raja' bola sepak Eropah tahun ini, sama ada Itali atau pun Sepanyol. Pasukan yang menang menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan disanjung ribuan peminat. Bagi yang kalah, menangis air mata darah sekali pun tidak akan dapat menukar keputusan perlawanan.
"Di sebalik kehebatan dan kemeriahan Euro 2012 terutama apabila perlawanan akhir menemukan Sepanyol dan Itali, kedua-dua negara ini juga tetap mempunyai kelemahan. Kedua-duanya sedang bergelut dengan krisis ekonomi”
Itulah dunia sukan bola sepak. Ia penuh dengan kegilaan, suka duka, misteri, keajaiban dan luar biasa tetapi amat berpengaruh kepada manusia kerana ramai yang sanggup mengorbankan wang ringgit, tenaga dan masa termasuk waktu tidur.
Jelas sekali, Euro 2012 menjadi pentas negara rantau Eropah mempamerkan kehebatan dalam sukan bola sepak kepada dunia khasnya benua Amerika Selatan dan Asia.
Kejohanan berprestij empat tahun sekali itu amat ditunggu peminat bola sepak, selain Piala Dunia kerana mereka mahu menyaksikan aksi diperagakan pemain yang mewakili negara masing-masing kerana hampir separuh pemain beraksi dianggap antara pemain terbaik dunia.
Namun begitu, di sebalik kehebatan dan kemeriahan Euro 2012 terutama apabila perlawanan akhir menemukan Sepanyol dan Itali, kedua-dua negara ini juga tetap mempunyai kelemahan. Kedua-duanya sedang bergelut dengan krisis ekonomi di negara masing-masing.
Walaupun Itali dan Sepanyol dilihat hebat di padang, di pentas ekonomi kedua-dua negara itu sebenarnya tenat dan amat memerlukan dana penyelamat bagi mengurangkan kesan peningkatan kos pinjaman yang sedang dihadapinya.
Jumaat lalu, pemimpin negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju melaksanakan tindakan kecemasan itu dengan disusuli penubuhan sebuah badan penyeliaan tunggal bagi memantau institusi perbankan di Zon Euro menjelang akhir tahun ini.
Sidang Kemuncak 17 negara anggota yang berkongsi mata wang sama bersetuju dana menyelamat Zon Euro boleh digunakan bagi menstabilkan pasaran bon, susulan rayuan pemimpin Sepanyol dan Itali.
Pelan tindakan kecemasan itu boleh dibuat tanpa memaksa negara berkenaan yang mematuhi peraturan bajet EU, menerima pakai langkah penjimatan tambahan atau pembaharuan ekonomi.
Negara EU yang meminta sokongan bon daripada dana penyelamat perlu memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan menyatakan komitmen dasar sedia ada mereka serta tempoh masa yang dipersetujui.
Negara berkenaan, bagaimanapun tidak akan berdepan sebarang pengawasan ‘Troika’, wakil Suruhanjaya Eropah, Bank Pusat Eropah dan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF), yang mana ketika ini Greece, Ireland dan Portugal tertakluk mengenainya.
Pada Sidang Kemuncak EU sebelum ini, Sepanyol dan Itali bersetuju menerima pakej pertumbuhan untuk menurunkan kos pinjaman kedua-dua negara itu yang kini kian meningkat. Masalah itu kini boleh menjejaskan pasaran modal ekonomi negara ketiga dan keempat terbesar dalam zon euro itu.
Penganalisis pasaran saham, Kaladher Govindan menganggap keputusan EU sebagai bantuan melegakan untuk pasaran bon Sepanyol dan Itali, namun kelemahan serta ketidakseimbangan fiskal Eropah dalam sistem perbankan bukan sekadar menuntut suntikan modal berterusan.
“Krisis ekonomi di sana masih memerlukan lebih banyak bantuan jika mahu pulih di samping mengatasi masalah isu utama.
“Soalnya, adakah Mekanisme Penstabil Eropah (ESM), iaitu dana penyelamat tetap Eropah yang akan diberikan kuasa menyalurkan bantuan secara terus kepada bank bermasalah, akan diberikan lesen perbankan seperti disyaratkan syarat Bank Pusat Eropah (ECB),” katanya.
Perkembangan terbaru menunjukkan yang perkara itu mungkin boleh menjadi kenyataan kerana dana penyelamat euro berjumlah 500 juta boleh mengecilkan hutang Sepanyol dan Itali bernilai lebih 2.4 trilion.
“ECB sepatutnya memainkan peranan lebih penting dalam situasi sekarang sekiranya situasi melegakan Jumaat lalu hendak dikekalkan,” kata Ketua Penyelidik TA Securities itu lagi.
Melihat kepada perkembangan di blok Eropah itu, ia seharusnya menyedarkan kita bahawa sehebat mana sesebuah negara itu, pasti ada kelemahan.
Ada banyak perkara yang boleh dipelajari darinya. Sukan mungkin boleh menjadikan negara di Eropah gah dan megah pada mata dunia, tetapi pada sudut lain, mereka jauh lebih menderita berbanding negara kita.
Sumber: Bharian