Kad Ucapan Hari Raya Aidilfitri Tidak Relevan Lagi?

KUALA TERENGGANU – Dengan perkembangan teknologi maklumat, kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri sudah tidak relevan lagi dengan kedai-kedai buku dan gerai di sini mengakui ia sukar untuk dijual.
Orang ramai sudah tidak berminat lagi membeli kad ucapan itu untuk dihantar kepada rakan atau taulan disebabkan kemunculan pelbagai idea dan cara baru seperti menghantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) FaceBook (FB) Twitter dan sebagainya.

Tinjauan di beberapa kedai buku dan gerai di sini mendapati tidak ada langsung pelanggan yang datang membeli kad-kad ucapan yang dijual di kedai-kedai berkenaan. “Kad ucapan Selamat Hari Raya yang dijual di kedai ini, langsung tidak mendapat sambutan. Orang ramai dah tak minat lagi beli kad raya sebab boleh hantar ucapan melalui SMS, FB dan sebagainya,” kata Shukri Abdullah, 26, yang menjadi pembantu Kedai Buku Fauzi Ngah di Pasar Kedai Payang di sini, sejak lima tahun lalu.

Katanya, dulu menjelang musim perayaan memang seronok menjual kad raya sebab orang ramai berpusu-pusu membeli kad untuk dihantar kepada rakan-rakan, tetapi sekarang semua sudah berubah.
“Ada orang masuk ke kedai kita, tetapi mereka tidak beli kad raya, mereka beli majalah, buku dan akhbar,” katanya.

Kedai Buku Pustaka Seri Intan di sini juga meluahkan pendapat yang sama apabila tidak ada pelanggan yang berminat membeli kad ucapan Selamat Hari Raya. Menurut pembantu kedai itu Azizah Jusoh, 31, kedainya yang menjual beraneka jenis kad raya berkata, jarang sangat orang yang masuk ke kedai ini untuk membeli kad ucapan itu.

Beliau yang bekerja di kedai itu sejak tiga tahun lalu berkata, berbanding beberapa tahun lepas, sukar untuk menjual kad-kad raya tahun ini. Sementara itu seorang penjual kad raya berhampiran hentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Yusof Yahya, 31, berkata, hanya mereka yang betul-betul minat dan ada kenangan manis saja membeli kad ucapan Selamat Hari Raya untuk dihantar kepada rakan-rakan. “Sejak saya buka gerai awal Ramadan ini, pelanggan yang datang membeli kad raya boleh dibilang dengan jari,” katanya. – BERNAMA


Azim : Masih suka dengan kad raya, terasa meriah dan terkenang zaman kirim mengirim kad raya dahulu. Boleh disimpan dan dijadikan kenangan. Sepatutnya tradisi ini dikekalkan.
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post