Apakah Kita Berada Di Ambang Keruntuhan Akhlak?


Oleh : DR ISMAIL IBRAHIM

ISTILAH akhlak bebeza dari istilah adab pada umumnya. Di dalam budaya kita apabila disebut adab, maka yang difokuskan ialah adab pergaulan kita, adat dalam sistem sosial orang Melayu, terutamanya di antara anak-anak dan orang tua, seperti ketika sekumpulan orang-orang tua sedang  berbual sesama sendiri, maka kanak-kanak tidaklah boleh masuk campur, ketika orang tua duduk di atas lantai, kanak-kanak tidak boleh duduk di atas kerusi, atau tempat yang lebih tinggi dari tempat duduk orang tua, dan ketika orang tua duduk, kanak-kanak tidak boleh melintas dari belakang, haruslah lintas di hadapan dengan menundukkan badan dan menghulur tangan ke bawah atau kalau terpaksa melintas dari belakang juga, maka hendaklah minta izin nak lalu di belakang.

Inilah contoh beberapa adat tradisi orang Melayu, yang termasuk dalam adab sopan kita, dan hal yang sama juga dapat dikatakan ketika hendak makan, minum, bercakap dan sebagainya iaitu ketika makan hendaklah ambil lauk pauk yang di depan dulu, kemudian baru ambil yang jauh, kalau minum hendaklah dalam keadaan duduk, kalau tak ada kerusi pun duduklah di atas lantai, atau kalau tempat itu tak sesuai untuk duduk terus seperti di atas tanah lumpur atau pasir pantai yang basah dan sebagainya, hendaklah duduk mencangkung.

Inilah sebenarnya adab atau adat budaya kita yang diamalkan turun- temurun, tetapi yang kini mulai terhakis atau tidak langsung diketahui oleh anak-anak kita bahawa kita mempunyai satu set adat dan adab seperti itu.

Mereka tidak pernah mengetahui bahawa ketika melintas di hadapan orang, mereka harus tunduk dengan menghulurkan tangan ke bawah, atau ketika minum mereka haruslah mencari tempat duduk, terutamanya ketika majlis-majlis seperti makan bufet pada masa kini yang tidak mempunyai tempat duduk, seperti kerusi, maka orang yang makan dan minum akan merasa lebeh senang berdiri saja.

Bagaimanapun kehakisan adab dan adat ini tidaklah sangat memberi kesan buruk kepada tatacara kelakuan dan adab sopan kita secara menyeluruh, sungguhpun dalam banyak keadaan kita masih memerlukan adat dan budaya ini, seperti yang masih hidup segar di kalangan masyarakat Jepun umpamanya yang masih tebal dan amat komited mengamalkan adab dan budaya ini hingga ke saat ini.

Bagaimanapun adat dan adab budaya ini tidaklah melibatkan dosa pahala secara langsung seperti hukum-hukum agama yang muktamad.

Saya menulis hal di atas ialah untuk cuba menonjolkan definisi "akhlak" termasuk dari pengertian agama kita sendiri. Ketika dijelaskan oleh Baginda Rasulullah SAW bahawa baginda diutuskan hanya sanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (di kalangan manusia) maka akhlak yang dimaksudkan ini adalah lebeh besar makna dan konsepnya dari pengertian adab dan adat yang kita fahami dari masyarakt Melayu kita.

Malah ketika ALLAH SWT menerangkan tentang sifat kecemerlangan Nabi Muhammad SAW dengan firmannya "Bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) yang mempunyai akhlak yang amat tinggi" maka pengertian akhlak ini juga adalah amat luas dan menyeluruh, yang mencakupi keseluruhan kehidupan manusia ini atas sifat individu dan masyarakat, masyarakat setempat dan masyarakat sejagat yang merentasi komuniti, bangsa, budaya dan adat tertentu, kerana akhlak dalam pengertian ini adalah termasuk dalam amalan agama yang baik sesuai dengan ajaran agama Islam sendiri sebagai satu modul akhlak Islamiah yang universal.

Akhlak ini juga merangkumi adab dan tingkah laku, perbuatan, perkataan, eskpresi diri dalam percakapan dan tulisan, perilaku peribadi atau jemaah dalam diri sendiri, dalam keluarga, masyarakat terhad atau masyarakat seluruhnya meliputi masyarakat alam manusia dan haiwan, alam tabi'e dan angkasa lepas.

Inilah pengertian akhlak dalam agama kita iaitu tingkah laku dan perbuatan manusia ketika menghayati nilai-nilai hidup dalam akidah dan syariah juga ihsan. Maka dalam konteks mencontohi akhlak Rasulullah SAW inilah keseluruhan, dukacita sekali bahawa masyarakat Islam di dunia ini telah mengalami kerisis yang amat serius.

Masyarakat Islam mengalami kerisis moral dan akhlak yang amat serius masa kini, seperti yang berlaku ketika umat Islam mengambil jalan kekerasan untuk menyelesaikan masalah mereka, menumpah darah dan berbunuhan ketika mengalami kerisis pemikiran kerana perbezaan kefahaman dan mazhab, menggadai nyawa dan harta benda ketika mencari penyelesaian kepimpinan dan politik negara, atau sekurang-kurangnya menabur fitnah dan permusuhan serta rasa benci dan hasad dengki sesama sendiri ketika mencari kepentingan sendiri atau kelompok yang tertentu.

Krisis akhlak dan moral yang serius inilah yang sedang kita melihatnya di dalam dunia Arab pada masa kini iaitu keganasan dan peperangan yang berlaku sesama sendiri yang mengakibatkan kerisis kemanusiaan yang serius, kehilangan nyawa, pelarian perang, kebuluran, penderitaan, penyakit dan sebagainya.

Memang dari satu segi kita bersimpati dengan kebanyakan rakyat beberapa negara Islam dan Arab yang tertentu sehinggaa menimbulkan pemberontakan dan keganasan iaitu kerana dasar ketua negara atau negara tersebut yang tidak mengamalkan demokrasi sebenarnya di dalam pemerintahan, ketidak adilan dalam pengagihan harta kekayaan negara, dasar kroni dan berat sebelah serta beberapa amalan lainnya yang menyebabkan banyak kepincangan dalam masyarakat seperti kelemahan ekonomi yang menyebabkan pengangguran, kenaikan harga barang, kadar gaji pekerja yang kecil, malah dalam bidang politik dan pemerintahan negara, rakyat tidak dapat bersuara, termasuk tidak dapat menyatakan suara mereka dalam menentukan kerajaan kerana tidak ada pilihan raya untuk membentuk kerajaan.

Maka dalam keadaan ini rakyat umumnya merasa terdesak untuk  menyatakan perasaan mereka dengan demonstrasi ganas dan berdarah, dan kerajaan pula membalas keganasan itu dengan keganasan yang lebih banyak memakan korban nyawa dan kemusnahan harta benda serta kerisis kemanusiaan yang lainnya.

Maka di sinilah berlakunya amalan dan tindakan dari rakyat dan kerajaan yang tidak selaras dengan akhlak Islamiah, ketika Islam telah meletakkan prinsip-prinsip tertentu dalam hubungan di antara rakyat dan pihak berkuasa, di antara rakyat sesama rakyat, di dalam prinsip syura, di dalam dasar toleransi dan persaudaraan, serta dasar keamanan lainnya.

Maka dalam hal inilah saya melihat bahawa  dalam perkembangan terakhir yang berlaku di dalam negara kita juga terdapat bibit-bibit keruntuhan akhlak dan moral Islam ini ketika berlaku fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh, jatuh-menjatuhkan di antara satu dengan yang lain, taksub partisan yang melampau, malah terdapat ssuara dan perbuatan yang menuju kepada matlamat keganasan dan kekerasan seperti yang berlaku dalam perkembangan "Arab Spring" sedangkan isu negara dan pemerintah negara-negara yang bergolak dengan keganasan dan perang saudara itu sebenarnya tidak dikaji dengan halusi untuk menjustifikasikan kehadiran "Arab Spring" di negara kita ini.

Perbuatan biadab yang mencemarkan adab dan adat tradisi budaya kita sekarang ini nampaknya telah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita.

Orang-orang muda telah melupai nilai budaya dan adab sopan mereka kerana golongan yang lebih tua dan matang telah mengajar atau menginspirasi kepada mereka supaya melakukan perkara-perkara yang melanggar adab sopan dan nilai-nilai akhlak Islamiah ini atas alasan menuntut keadilan, kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan sebagainya, sedangkan Islam mengajar berbagai cara untuk menyelesaikan masalah, mengurus konflik dan mengamalkan kelakuan yang bersopan dan bertamadun dalam tindakan, tulisan, percakapan dan sebagainya, tetapi hal ini tidak dihiraukan lagi, kerana "mentor" mereka telah menunjukkan "contoh" yang seharusnya  mereka tiru dan ikuti ini.

Saya rasa kita mungkin boleh bertolak ansur sekiranya anak-anak kita makan dan minum berdiri, atau ikut berbual dengan orang-anak tua dan sebagainya kerana hal itu adalah merupakan adat dan adab bagi bangsa kita, tetapi memaki hamun, memijak gambar orang, melakukan kekerasan kepada penjaga keamanan, membuat fitnah dan tuduhan melulu kepada institusi yang menjalankan tugas untuk menegakkan demokrasi dan kesejahteraan masyarakat, menulis komen-komen yang lucah dan biadab terhadap orang lain, maka semuanya ini adalah terang-terangan bercanggah denga akhlak yang diajar oleh Islam, dan melanggar ajaran agama adalah satu dosa kepada ALLAh SWT, bukan hanya melanggar adab dan budaya bangsa seperti makan dan minum dalam keadaan berdiri atau melintas depan orang tanpa menundukkan kepala dan sebagainya.

Kita seharusnya segera menerapkan ajaran kepada generasi muda kita, terutamanya dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik, bahawa akhlak Islam adalah sesuatu yang wajib dipatuhi, bukan seperti adat tradisi kita yang boleh diikut atau tidak mengikut cita rasa masing-masing. Melanggar akhlak Islam adalah bererti melakukan mungkar dan perbuatan dosa, bukan kepada budaya dan adat bangsa, malah kepada agama dan ALLAH SWT.

 
*Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi
Azim Aris

Setiap orang ada pendapat tersendiri. Apa pula pendapat anda? Kongsikan artikel ini untuk manfaat serta layari juga blog utama saya : CIKGUZIM

Post a Comment

Previous Post Next Post